Selasa, 10 Februari 2015

Hudud hanya ke Parlimen jika Presiden luluskan, kata Amar

Oleh Nur Atiqah Abd Samad
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Cadangan  melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan hanya akan di bawa ke Parlimen jika dipersetujui Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata Timbalan Menteri Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
 
Bagaimanapun  pindaan Kanun Jenayah Syariah II akan tetap di bentangkan di Dewan Undangan Negeri Kelantan sebagai persediaan untuk pelaksanaan undang-undang syariah itu, kata beliau. 
 
Mohd Amar berkata pihaknya tidak keberatan menerima cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang mahu undang-undang itu dibincang di Majlis Presiden Pakatan Rakyat sebelum dilaksanakan. 
 
"Cadangan pindaan ini dia (Guan Eng) minta bentangkan dalam mesyuarat MPPR jadi PAS setuju untuk bentang supaya mereka tahu apa kita nak pinda. Tapi tu tak menghalang Kelantan untuk meneruskan pindaan tu di peringkat negeri sebab undang-undang tu sudah ada. 
 
"Nak bawa ke peringkat Parlimen, itu adalah rang undang-undang persendirian itu (dan) kita serahkan kepada presiden PAS untuk buat keputusan dalam mesyuarat tu," kata beliau.       
 
"Kalau presiden kata ok boleh bawa (ke parlimen) kita bawa. (Kalau tangguh) ya bergantung kepada presiden yang buat keputusan. Kita ikut arahan saja," ujar beliau kepada Antarapos.
 
Semalam DAP mencadangkan pelaksanaan hudud di Kelantan ditangguhkan sehingga mesyuarat MPPR selesai dan parti itu mengambil pendekatan yang sama bersabit cadangan mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan. 
 
Mohamad Amar berkata Kelantan mempunyai pendekatan yang jelas dalam komitmen melaksanakan undang-undang hudud. 
 
"Untuk kemukakan rang undang-undang pindaan tu kita teruskan juga.
 
"Yang dia (Guan Eng) minta tu untuk bawa ke Parlimen, itu cadangan dia. Tidak sangkut paut dengan Kelantan. Kita teruskan juga sebab di Kelantan undang-undang tu sudah lulus tahun 1993, jadi tak berbangkitlah," jelas beliau lagi.

Tiada ulasan: