Selasa, 10 Februari 2015

'Hari yang mengaibkan buat Malaysia'

MALAYSIAKINI


 


Para pemimpin Pakatan Rakyat menyambut keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman penjara ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dengan penuh dukacita.

Antaranya, penasihat DAP, Lim Kit Siang menganggap hari ini sebagai "hari paling mengaibkan".

"Rayuan Anwar ditolak oleh Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara - satu hari yang mengaibkan buat Malaysia.

"Anwar akan dihantar semula ke penjara buat kali keempat," kata Lim menerusi tulisan di Twitter.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga curiga dengan kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini yang nafi campur tangan dalam keputusan tersebut.

Beliau mempersoalkan bagaimana pejabat Datuk Seri Najib Razak dapat mengeluarkan jaminan seperti itu lebih awal daripada keputusan mahkamah disampaikan.

“Bagaimana kerajaan BN dapat meyakinkan rakyat Malaysia dan dunia bahawa ia tidak campur tangan dengan keputusan itu dan bahawa wujud kehakiman yang betul-betul bebas dan kedaulatan undang-undang?

“Mahkamah Persekutuan sampaikan keputusan menolak rayuan Anwar dan Pejabat Perdana Menteri keluarkan kenyataan dalam tempoh setengah jam, malah sebelum keputusan disampaikan,” katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang antara lainnya menyeru kepada semua pihak agar menerima keputusan yang disampaikan ke atas Anwar.

“Dalam kes ini, proses yang memenatkan dan komprehensif dijalankan sejak bertahun-tahun lamanya. Proses berkenaan kini sudahpun tamat, dan kami menggesa semua pihak yang terlibat agar menghormati proses undang-undang dan penghakiman,” kenyataan itu dipetik.

Ia turut menggariskan bahawa para hakim berkenaan pasti mengambil kira semua bukti yang ada dengan cara adil dan objektif.

“Malaysia mempunyai kehakiman yang bebas dan sebelum ini terdapat banyak keputusan dibuat ke atas pegawai kanan kerajaan.

“Laporan polis ke atas Anwar Ibrahim dibuat oleh seorang individu – kakitangan Anwar dan pembantu peribadinya – bukan oleh kerajaan.

“Sebagai mangsa serangan seksual yang serius, beliau berhak untuk mendengar kesnya di mahkamah,” kenyataan itu dipetik.

Para personaliti politik Pakatan turut mendoakan agar keluarga ketua pembangan itu tabah dalam menghadapi keputusan berkenaan.

Antara yang terawal memberikan ucapan tersebut adalah bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Saya berdoa kepada Allah semoga keluarga saudara Anwar Ibrahim diberi kekuatan dalam menempuh dugaan yang mencabar ini," tulis Khalid.

Tiada ulasan: