Sabtu, 21 Februari 2015

DAP Jangan Campur Urusan Kerajaan Negeri - PAS Kelantan


MSTAR ONLINE


Datuk Mohd Amar Abdullah
 
 
 
KOTA BHARU: PAS Kelantan mengingatkan sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP, supaya menghentikan usaha menggagalkan rancangan negeri itu untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah berkata cubaan DAP mencampuri urusan kerajaan negeri bagi mengelakkan pelaksanaan hudud akan menjadi sia-sia.

"DAP ada hak membantah rancangan kami, tetapi ia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan tekad kita untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

"Ini adalah selaras dengan hasrat Allahyarham Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kami akan memastikan agar undang-undang itu dilaksanakan di sini," kata Mohd Amar selepas menghadiri mesyuarat exco negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di sini, Rabu.

Bekas menteri besar Kelantan yang telah berkhidmat di negeri itu selama 22 tahun dan juga menjadi Mursyidul Am PAS, meninggal dunia baru-baru ini akibat kanser prostat.

Mohd Amar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaharu oleh penasihat DAP Lim Kit Siang yang menggesa PAS untuk melupakan rancangan untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Kit Siang mengingatkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menghormati kenyataan beliau sebelum pilihan raya umum ke-13 bahawa PAS tidak akan bertegas untuk melaksanakan undang-undang hudud.

Kit Siang mendakwa bahawa Abdul Hadi berkata terdapat banyak perkara yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum hudud, seperti skim gaji minimum.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata Dewan Undangan Negeri yang dijadualkan bersidang pada 16 Mac tidak akan diubah atau ditangguhkan walaupun penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Chempaka telah ditetapkan pada 10 Mac.

PRK Chempaka diadakan berikutan kematian Nik Aziz.

Tiada ulasan: