Selasa, 17 Februari 2015

Cukup-cukuplah dengan drama MIC, Bollywood pun kalah!





 Oleh V Shuman


Tamak haloba, pecah amanah, penentangan terhadap apa yang didakwa sebagai “tirani”, pemberontakan, mogok lapar dan ancaman maut. Tidak, ini bukan plot dalam filem “blockbuster” Hollywood atau drama Sepanyol.

Ini adalah ramuan dalam MIC – sebuah parti yang ada lebih banyak drama berbanding berkhidmat terhadap masyarakat. Sekurang-kurangnya ketika di bawah pimpinan kini.

Parti itu terjunam ke dalam krisis selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkannya untuk mengadakan pemilihan semula bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC), berikutan kejanggalan dalam pemilihan parti pada November 2013.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan pendaftaran parti itu dibatalkan.

Krisis itu telah menyaksikan bermacam jenis insiden dramatik berlaku, termasuk Presiden Datuk Seri G Palanivel bertindak secara “auto pilot”, mengunci ibu pejabat parti bagi menghalang mereka yang tidak berpihak kepadanya menyertai satu mesyuarat khas.

Beliau juga secara bebas melantik orangnya sendiri memegang jawatan tertinggi, di saat kesahan parti itu sendiri dalam keadaan terancam.

Ini menyebabkan pertandingan jerit menjerit, carut mencarut, tolak menolak dan aksi bertumbuk di antara ahli daripada kem berbeza.

Tidak lupa juga sidang media baru-baru ini oleh seorang timbalan menteri, yang mana beliau kononnya menerima ugutan bunuh melalui panggilan telefon. Malah panggilan itu “kebetulan” diterima ketika sidang berlangsung dan beliau membiarkan semua media mendengar panggilan itu.

Ada juga mogok lapar oleh Datuk G Kumar Amman yang tidak bertahan lama. Sama seperti protes itu, lantikannya sebagai Setiausaha Agung juga tidak bertahan lama.

Terlalu banyak drama. Mungkin penulis skrip Bollywood boleh datang ke sini jika mereka kehabisan idea nanti.

Mereka yang telah mengikuti kisah memalukan ini pasti berharap ia berakhir selepas pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini. Beliau memaklumkan, MIC akan mengadakan pemilihan semula di semua peringkat bermula April hingga Julai bagi menyelesaikan krisis yang sedang berlaku.

Namun tidak. Palanivel terus dengan tindakannya. Perkembangan terbaru menunjukkan Timbalan Presiden Datuk Seri S Subramaniam mengumumkan untuk bertanding jawatan presiden atas alasan “demi kepentingan masyarakat India”.

Saya berpandangan, klip audio yang tersebar di WhatsApp bulan lalu merumuskan persoalan yang bermain dalam fikiran ramai masyarakat India.

Rakaman itu menghentam pemimpin parti yang secara tiba-tiba terlebih semangat membangkitkan masalah yang kini mereka hadapi. Beliau bertanya, “sejak bila anda semua sebegini vokal ketika menjuarai hak masyarakat India?”

“Hanyalah ketika kedudukan anda terancam, ketika anda hilang tempat, barulah anda turun mencari publisiti. Kalaulah anda melakukan perkara yang sama ketika memperjuangkan hak orang India.”

Sumber klip audio itu tidak diketahui. Namun saudara, siapa sahaja anda, tepat sekali kata-kata itu. Sangat tepat.

Ini satu pesanan untuk Palanivel. Tuan, semuanya sudah jelas di depan mata. Masyarakat India tidak mahukan anda, malah ahli parti anda sendiri juga tidak mahukan anda.

Memegang kuasa dengan sekumpulan konco sendiri adalah satu kebodohan. Keenggana meletakkan jawatan ketika anda sendiri tahu telah gagal hanya menunjukkan keburukan diri, parti, masyarakat India secara umum dan malah Barisan Nasional.

Cukuplah dengan drama, dan cuba bekerja dengan semua pihak untuk menstabilkan kedudukan MIC dalam BN. Atau pun, teruskan sahaja apa yang anda lakukan dan berhadapan dengan risiko dibatalkan pendaftaran.

Hakikatnya, wujud atau tidak MIC tidak membawa apa-apa perbezaan kepada masyarakat India. MIC sudah tidak relevan sejak 2008.

Kepada pemimpin parti yang berkeras mahu berpaut kepada kuasa, ingatlah – untuk berkhidmat kepada masyarakat, anda tidak semestinya memiliki apa-apa jawatan politik.

Niat yang baik dan jujur untuk membantu tanpa mengharapkan ganjaran pasti akan membuahkan hasil. Bukannya menyumbang seguni beras namun memanggil seluruh media untuk memberikan publisiti tentangnya.

Tiada ulasan: