Khamis, 19 Februari 2015

Cabaran debat terbuka disahut


Hanipa Maidin
 
 
SHAH ALAM – Selepas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyahut cabaran ketua pendakwa raya kes liwat II, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk berdebat secara terbuka, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin hari ini tampil menyahut cabaran.

Hanipa yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat bagaimanapun berkata, perdebatan tersebut perlu bersyarat iaitu diadakan di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Tempatan (IPTA) dan mendapat siaran langsung dalam stesen TV tempatan.

“Saya terpanggil dan insya-ALLAH bersedia menyahut cabaran Shafee atau Ketua Pemuda Umno tersebut dan bersedia untuk berdebat atau berwacana sama ada dengan Shafee sendiri atau Khairy berkaitan isu tersebut.

“Perdebatan tersebut hendaklah juga dalam masa yang sama disiarkan secara langsung oleh RTM atau TV3 supaya rakyat di negara ini mendapat maklumat secara langsung tentang apa yang dikatakan oleh ahli-ahli panel,” katanya dalam satu  kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas hasrat Ketua Pemuda Umno itu membuat “road show” sesi penjelasan di seluruh negara untuk menangkis dakwaan wujudnya konspirasi politik dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selasa lalu, program bertajuk Dialog Bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah anjuran Akademi Kepimpinan Kapten Hussein diadakan di Kelana Jaya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya hanya bentang fakta kes' ]

Kata Hanipa lagi, beliau berharap Muhammad Shafee atau Khairy dapat memberi respon terhadap tawaran beliau supaya berdebat terbuka itu dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

“Jika Muhammad Shafee tidak selesa untuk berdebat dengan saya, saya bersedia berdebat dengan Ketua Pemuda Umno Malaysia berkaitan isu yang sama,” ujarnya.

Sementara itu, semalam Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli  turut tampil menawar diri untuk berdebat secara terbuka berhubung isu sama.

"Saya akan cabar KJ berdebat mengenai kes ini," katanya sambil berkata Khairy perlu berani untuk bercakap dengan PKR bukannya 'syok sendiri'.

Tiada ulasan: