Selasa, 17 Februari 2015

Bajet 2015: Bayaran pencen tidak jejas

SINAR HARIAN


bajet2015
 
 
MELAKA - Langkah penjimatan kerajaan dalam bajet 2015 tidak menjejaskan pembayaran pencen bagi pesara jabatan dan agensi persekutuan, negeri serta badan berkanun di seluruh negara.
 
Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Datuk Yeow Chin Kiong berkata, ini kerana pencen dan pembayarannya telah termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan peruntukannya tidak bergantung pada bajet tahunan.
 
"Pembayaran pencen tidak disentuh atau langsung tiada perubahan. Ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan jauh sekali niat kerajaan untuk mengusiknya," katanya kepada pemberita selepas Program Jalinan Kasih Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)-JPA, di Ujong Pasir di sini, hari ini.
 
Mengulas lanjut, beliau berkata kenaikan kadar pencen sebanyak dua peratus juga tidak terjejas dengan penstrukturan semula bajet tersebut.
 
Katanya, sehingga kini bilangan penerima pencen di seluruh negara adalah 623,000 orang dan melibatkan pembayaran berjumlah RM11 bilion setahun.

Dalam perkembangan lain, Chin Kiong berkata pihaknya sentiasa mencari peluang membantu pesara yang memerlukan bantuan sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat dan juga dalam usaha merakyatkan perkhidmatan awam.
 
"Kakitangan awam juga perlu memberi sedikit perhatian bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan mengikut kemampuan yang ada dan secara tidak langsung memberi nilai tambah dalam perkhidmatan kita," katanya.
 
Terdahulu beliau meluangkan masa melawat pesara MBMB Mahmood Tamby Ahmad, 87, yang terlantar akibat sakit tua dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan berupa makanan, katil dan kerusi roda untuk kegunaannya.
 
Turut hadir Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Hussin.
 
Sementara itu, anak perempuan Mahmood, Rohana, 45, berkata dia bersyukur kerana bapanya masih menerima bayaran pencen untuk membeli keperluannya.
 
"Kami mempunyai sembilan adik-beradik namun masing-masing mempunyai gaji yang kecil namun Alhamdulillah bayaran pencen yang diterima ayah meringankan beban yang ada," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: