KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Sekretariat Rakyat Hakim Negara mengajak seluruh rakyat Malaysia hadir ke Ceramah Grand Finale: Rakyat Hakim Negara pada Isnin ini, 9 Februari.
Solidariti kepada Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim itu akan berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya.
Ceramah tersebut dijadual bermula jam 9 malam.
“Sekretariat Rakyat Hakim Negara ingin menyeru dan mengajak seluruh rakyat untuk bersama dalam siri jelajah yang telah disusun di beberapa negeri dan kemuncaknya adalah pada malam Grand Finale.
“Ceramah ini bakal dihadiri oleh pimpinan utama Pakatan Rakyat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Penekanan utama adalah berkisar kes Fitnah II Anwar di samping isu-isu rakyat seperti salah guna kuasa dan kezaliman melalui Akta Hasutan,” kata Setiausaha Sekretariat Rakyat Hakim Negara, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli dalam kenyataan.
Jelas beliau, isu ekonomi dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) turut dijadikan hujah utama untuk rakyat membuat penghakiman terhadap pemerintah Umno BN yang tidak mempedulikan penderitaan rakyat.
Pada 10 Februari ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan bagi keputusan rayuan terakhir Anwar terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas tuduhan kes Fitnah II. Keputusan rayuan itu akan diumumkan oleh panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Menurut Saifullah, Hari Penentu (10 Februari) itu bakal menjadi tarikh penting dalam sejarah politik Malaysia, oleh itu semua pimpinan dan pendokong KEADILAN diseru untuk hadir bagi menyatakan solidariti kepada Anwar.
Katanya, pada 10 Februari nanti, mereka yang beragama Islam digalakkan untuk berkumpul dan solat Subuh di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi) sebelum berjalan bersama-sama Anwar ke Istana Kehakiman pada jam 8.00 pagi.
“Para pendokong yang akan hadir di Hari Penentu (10 Februari) di Putrajaya diingatkan untuk mematuhi arahan pimpinan KEADILAN dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa,” ujar Saifullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan