Isnin, 16 Februari 2015

Anak M'sia ketuai projek patukan ular di Myanmar

MALAYSIAKINI


 


Seorang penyelidik kelahiran Malaysia kini mengetuai projek antarabangsa untuk menyelamatkan nyawa beribu-ribu orang yang mati setiap tahun akibat patukan ular berbisa di Myanmar.

Dr Peh Chen Au, pensyarah kanan klinikal, Fakulti Ubat-ubatan, Universiti Adelaide, berkata patukan ular merupakan masalah kesihatan awam utama di Myanmar, terutama dalam kalangan penduduk miskin yang bekerja di kawasan pertanian seperti di sawah padi.

Dr Peh, yang berasal dari Taiping, Perak tetapi kemudian bersekolah di Pulau Pinang dan Singapura sebelum datang ke Australia, berkata walaupun angka sebenar tidak diketahui, tetapi dianggarkan 2,000 orang mati setiap tahun akibat patukan ular di Myanmar, majoriti disebabkan kegagalan ginjal akut akibat patukan.

Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan (DFAT) Australia telah menawarkan A$42.3 juta (RM117.63 juta) kepada universiti tersebut bagi projek selama tiga tahun untuk membantu meningkatkan pengurusan pesakit patukan ular di Myanmar.

Selain itu, menjalin perkongsian dengan pengeluar anti venom terkemuka Australia, bioCSL - untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kebolehsediaan anti venom.

Pasukan penyelidik itu bekerjasama dengan badan-badan industri dan kerajaan di Myanmar untuk mengenal pasti dan melaksanakan perubahan yang berpotensi untuk menyelamatkan nyawa.

"Melalui gabungan sistem penjagaan kesihatan berkualiti dan penyelidikan selain mempunyai industri anti venom yang terkemuka, Australia berada dalam kedudukan untuk memainkan peranan kepimpinan global melalui usaha kemanusiaan ini," Dr Peh dipetik sebagai berkata dalam siaran media yang dikeluarkan oleh universiti itu.

Dr Peh, 51, yang juga pakar perubatan ginjal di Royal Adelaide Hospital, berkata patukan ular merupakan satu daripada penyakit tropika yang paling diabaikan di dunia.

Patukan berbisa dari Russell viper - satu daripada ular paling berbisa di Myanmar - perlu diberi rawatan anti venom dalam tempoh satu hingga tiga jam yang pertama, jika tidak pesakit menghadapi risiko mengalami kegagalan gingal teruk dan menyebabkan kematian.

"Malangnya, bagi kebanyakan mangsa patukan ular, mereka berada di kawasan terpencil yang kurang sedikit bagi anti venom, dan sering mereka tidak menerima rawatan yang diperlukan dalam tempoh itu," kata Dr Peh.

Ahli-ahli lain pasukan itu ialah Prof Madya Julian White dan Dr Afzal Mahmood, kedua-duanya dari Jabatan Toksinologi, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Adelaide dan Jabatan Pediatrik dan Kesihatan Reproduktif universiti berkenaan.

Prof White berkata: "Beberapa daripada ular paling berbisa di dunia terdapat di Australia tetapi pada hakikatnya hanya 600-1,000 patukan ular dilaporkan setiap tahun, dan menyebabkan beberapa kematian.

"Myanmar mencatatkan sekurang-kurangnya 14,000 kes patukan ular setiap tahun - anggaran bersifat konservatif tetapi angka sebenarnya mungkin tiga kali lebih tinggi daripada itu."

Dr Afzal, berasal dari Pakistan, berkata kerajaan Myanmar membantu dengan memberi subsidi bagi kos rawatan anti venom, tetapi kos tambahan seperti pengangkutan dan penginapan perlu ditanggung sendiri oleh pesakit.- Bernama

Tiada ulasan: