Rabu, 18 Februari 2015

ABIM: Umno wujudkan perbicaraan luar mahkamah

MALAYSIAKINI



 
 
 
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyelar tindakan Pemuda Umno yang ingin mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bersama peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi menjelaskan isu berkaitan kes Liwat II.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar sepatutnya tidak melakukan perkara yang “sempit dan membahayakan masa depan negara”.

Ini kerana, Amidi berkata, tindakan itu dilihat sebagai langkah perbicaraan di luar mahkamah yang akan “mengundang ulasan liar”.

“Perbicaraan di luar mahkamah akan berlaku secara liar, tanpa etika dan keterlaluan.

“Mungkin akan berlaku tambahan-tambahan fakta secara semberono dan mengelirukan masyarakat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semasa berucap dalam forum bersama peguam kanan tersebut di Kelana Jaya pada malam tadi, Khairy berkata, Umno akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan kes Liwat II melibatkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khairy berkata, selama ini, Umno hanya berdiam diri daripada tohmahan dan tuduhan yang diberikan berkaitan kes itu kerana tidak mahu mengganggu proses mahkamah.

Selain itu, Amidi berkata lagi, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau perlu peka dengan perkembangan kelompok yang muak dan hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan negara.

Malah, sebagai pemimpin muda, Amidi menasihatkan supaya Khairy lebih berpandangan jauh dan bertanggungjawab.

Justeru, katanya, tindakan Umno selama ini yang berdiam diri merupakan tindakan yang tepat kerana ia menjadi punca parti itu kekal memerintah negara.

"Tindakan ini sekali gus membuktikan bahawa jawapan balas pihak pendakwa yang menolak teori konspirasi politik, dan mahkamah telah pun menerima hujah pihak pendakwa dalam penghakimannya tidak mencukupi.

"Tindakan bersabar oleh pihak Umno adalah tindakan yang tepat. Ini kerana, tindakan itulah yang mengekalkan BN terus memerintah negara.

"Kita semua bertanggungjawab untuk memelihara sistem perundangan negara seperti yang terpateri dalam ikrar Rukun Negara kita iaitu 'kedaulatan undang-undang'," katanya lagi.

Tiada ulasan: