Sabtu, 21 Februari 2015

1MDB dan Petrosaudi ‘kongkalikong’ untung mudah RM2.5 bilion untuk syarikat asing?

1mdb feat

 Roketkini.com


KUALA LUMPUR – ‘Ibu segala skandal’, 1Malaysia Development Berhad terus menimbulkan tanda tanya baru apabila satu lagi skandalnya didedahkan, kali ini melibatkan Petrosaudi International Limited (PSI).

Terbaru, Sarawak Report mendedahkan wujud usaha antara 1MDB dan Petrosaudi untuk mendapatkan keuntungan mudah daripada dana 1MDB tanpa modal satu sen pun, yang disifatkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua sebagai sebuah penipuan yang licik.

Tony dalam kenyataannya hari ini bertanya kenapa 1MDB melabur US$1 bilion dalam sebuah usahasama yang membolehkan rakan seusahanya mengaut untung atas angin sebanyak US$ 700 juta (RM2.5 bilion) daripada dana yang disuntik oleh 1MDB.

Lebih menarik lagi, dana tersebut dikumpul daripada pinjaman yang dijamin oleh Kerajaan Malaysia.
Pada 18 September 2009, PSI menubuhkan anak syarikat diberi nama 1MDB Petrosaudi Limited dan seminggu kemudian menandatangani perjanjian bahawa anak syarikat tersebut berhutang US$700 juta dengan PSI.

Pada 29 September 2009, 1MDB membeli 40% saham 1MDB Petrosaudi Limited dengan suntikan US$1 bilion. Keesokan harinya, anak syarikat tersebut membayar keseluruhan ‘hutang’ US700 jutanya kepada PSI.

“Walaupun 1MDB Petrosaudi Limited ibarat sebuah bekas kosong, PSI telah membuat sebuah dokumen pinjaman yang menjadikan 1MDB Petrosaudi Limited sebuah syarikat dengan keterhutangan US700 juta.

“Dengan keadaan syarikat tersebut berhutang US$700 juta, 1MDB pula bersetuju melabur US$1 bilion (RM3.5 bilion).

“Sebaik sahaja perjanjian ditandatangani, malah mungkin sebelum dakwatnya kering, 1MDB Petrosaudi Limited membayar penuh hutang-hutangnya dengan dana yang diterima daripada 1MDB,” jelas Tony.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP itu, perjanjian ini bermakna Petrosaudi International Limited dengan mudah mendapat tunai US$700 juta untuk kegunaan sendiri, tanpa perlu mengeluarkan modal.

Tony turut mendakwa transaksi yang begitu aneh ini menunjukkan wujud ‘kongkalikong’ antara PSI dan 1MDB untuk mengaut dana besar tersebut.

Usahasama 1MDB dan Petrosaudi merupakan pelaburan pertama yang dibuat oleh 1MDB, yang kini menanggung hutang berjumlah RM42 bilion setakat tahun 2014, yang dilaporkan masih belum mampu dilunaskan.

“Ia lubang pertama yang dikorek, dan disusuli lubang-lubang lain yang dikorek untuk menutup lubang-lubang terdahulu,” ujar Tony. – Roketkini.com

Tiada ulasan: