Setiap kali berlaku kejadian atau insiden besar seperti banjir sudah pasti akan ada ‘penyakit bawaan’ masing-masing. Penyakit sedemikian mudah merebak. Bagaimanapun setakat ini dilaporkan tidak ada yang serius dikesan. Harap-harap­nya selepas banjir nanti pun sama.

Cuma, ada satu ‘penyakit’ baharu yang muncul sejak hari pertama kejadian. Ia penyakit berjangkit yang sangat bahaya. Penyakit ini merebak dengan cepat sehingga ramai yang menjadi mangsa. Penyakit ini tersebar menerusi ‘media sosial.’

Penyakit tersebut disebarkan oleh ‘pendekar papan kekunci’ yang kebanyakannya bukan berada di tempat kejadian pun. Sesetengahnya duduk di luar negara. Mereka bukan calang-calang orang malah ramai yang terpelajar. Walaupun duduk di luar negara, tidak kira di tanah Arab atau benua Eropah, mereka ini sangat aktif menjadi agen penyebar. Cara pendekar papan kekunci ini menyebarkan pe­nyakit tersebut tak ubah seperti dia berada di kawasan kejadian. Laporannya semacam siaran langsung, sangat terkini kononnya.

Dan seperti biasa, tidak ada langsung sisi baik dalam laporan mereka di laman sosial Facebook dan Twitter atau aplikasi WhatsApp itu. Sumbernya pula se­perti biasa khabar angin atau dengar cakap orang lain. Kawan kepada sepupu kepada biras kepada besan kepada dua pupu kepada saudara jiran saya bagi tau bla bla bla. Hakikatnya terbukti segala berita yang kononnya terkini itu tidak betul.

Setakat ini Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyenaraikan 22 individu yang dipercayai boleh membantu siasatan berhubung penyebaran berita palsu sepanjang banjir.

Sebanyak 10 be­rita palsu dikenal pasti antaranya berita pusat pemindahan Sekolah Manek Urai runtuh, kerajaan menyembunyikan fakta kematian mangsa banjir, kes kematian di Guchil, bantuan banjir pertubuhan bukan kerajaan disekat dan pelepasan air empangan di Thailand sebagai punca banjir besar.

Itu hanya sebahagian. Beratus-ratus lagi berita palsu tersebar dan berlegar sehingga sekarang. Bagi meyakinkan pembaca, dikepilkan sekali gambar-gambar kejadian. Gambar pasukan tentera sedang menarik keluar mangsa tanah runtuh menjadi viral. Kejadian itu disangka berlaku di sebuah daerah yang dilanda teruk banjir, walaupun uniform yang dipakai oleh anggota tentera itu terang-terangan milik pasukan tentera sebuah negara jiran. Namun ramai yang termakan dengan berita palsu sedemikian.

Tidak pasti berapa ramai yang ‘dicari’ SKMM, sudah tampil membantu siasatan. Kalau berani, mereka kena hadir membantu siasatan. Berdasarkan tulisan yang berapi-api itu, individu terlibat tidak nampak seperti seorang penakut. Atau sekadar berani di alam siber sahaja. Juga tidak dapat dipastikan, apa pula bentuk tindakan yang boleh diambil oleh SKMM jika terbukti segala berita yang disebarkan itu fitnah. Adakah akan dibiarkan berlalu begitu sahaja selepas ini?

Seperkara lagi, bah besar kali ini memperlihatkan begitu ramai rak­yat Malaysia datang ke kawasan bencana sebagai sukarelawan. Agensi kerajaan pusat dan pasukan keselamatan awal-awal kejadian lagi sudah dikerahkan secara maksimum. Mereka yang kebanyakan dari negeri-negeri lain berbondong-bondong memasuki kawasan yang teruk dilanda banjir.

Sukarelawan daripada pelbagai pertubuhan kerajaan ini bergan­ding bahu dengan pasukan keselamatan seperti polis, tentera, Rela, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) membantu mangsa-mangsa banjir. Mereka bekerja sepenuh jiwa, tanpa mengira masa bagi memastikan penduduk kampung terlibat selamat dipindahkan atau mendapat bekalan makanan.

Bagaimanapun ramai yang tidak peduli, sesetengah daripada mereka juga mangsa banjir. Keluarga mereka turut bergelut de­ngan bencana yang sama manakala mereka berhabis tenaga membantu mangsa banjir di tempat lain.

Malangnya banyak pihak yang kerjanya hanya mengkritik, memperlekeh, menghentam malah sampai ke tahap menghina kerja mulia anggota pasukan keselamatan. Mereka yang bertungkus-lumus siang malam dan bertarung nyawa meredah banjir dituduh macam-macam. Serangan turut dibuat terhadap pemimpin kerajaan Pusat.

Malaysia dan rakyatnya mempunyai rekod yang dikagumi dalam kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan di seluruh dunia. Justeru adalah sangat tidak masuk akal, jika ada yang menuduh pihak berkuasa dan pasukan keselamatan kita tidak prihatin, tidak peduli dan pi­lih kasih dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Mereka telah melakukan yang terbaik walaupun banyak kekangan dan halangan khususnya di peringkat awal banjir. Tanggungjawab membantu mangsa yang terlibat masih berterusan dan akan berterusan sehingga banjir berakhir. Malah selepas banjir berlalu pun, banyak lagi tugas yang menanti. Walaupun dihina dan diperlekeh, semangat mereka tidak pernah luntur.

Kelompok yang gemar melemparkan tuduhan jahat kepada anggota pasukan keselamatan dan orang yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan adalah ‘manusia berpenyakit’ dan mengalami ‘kecelaruan jiwa’ yang sangat kronik. Mereka perlu dirawat.