MALAYSIAKINI
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menganggarkan dana sebanyak
RM52.5 juta diperlukan sebagai inisiatif membina semula kira-kira 1,500
rumah rakyat yang dikenal pasti telah musnah akibat bencana banjir di
negeri itu.
Bersimpati
dengan nasib mangsa banjir khususnya di kawasan selatan negeri itu,
beliau berkata kerajaan negeri sedang mencari penempatan dan setakat ini
sebanyak 224 khemah penempatan sementara telah disediakan melalui
Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ketua jajahan di bandar Gua Musang.
"Kerajaan turut memastikan mana-mana bangunan komersial yang belum
diguna atau kuarters kerajaan atau perumahan untuk dikemukakan kepada
Jawatankuasa Task Force Pasca Banjir negeri dan diselaraskan dengan
Jawatankuasa Khas Banjir melalui Timbalan Pengerusinya iaitu Datuk
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan," katanya.
Selain
inisiatif projek jangka panjang itu, kerajaan negeri menyeru kepada
dermawan dan pihak tertentu bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk
membina penginapan sementara seperti rumah transit, membekalkan kanvas
dan khemah melalui ketua-ketua jajahan.
"Kerajaan amat prihatin terhadap persekolahan anak-anak bagi sesi 2015," katanya dalam satu kenyataan.
"Dengan itu kerajaan meluluskan melalui YAKIN di bawah bantuan
kemiskinan dan persekolahan sejumlah RM50 ribu kepada setiap ADUN dan
penyelia DUN bagi meringankan beban anak ke sekolah," katanya.
Selain
itu, Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS negeri mengarahkan pihak berkuasa
tempatan (PBT) melaksanakan gerak kerja pembersihan dan memungut sampah
sarap yang ada dengan segara.
"Kerajaan negeri telah meluluskan RM50 ribu kepada setiap PBT untuk tujuan tersebut," katanya.
Beliau turut mengingatkan banjir besar di negeri itu seperti berlaku
dalam sejarah Islam yang perlu diambil iktibar oleh semua pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan