Rabu, 14 Januari 2015

Jawi Yang Kena "Masuk Jawi"

shahbudindotcom



Dalam satu tindakan yang dianggap sangat efisien, proaktif dan sangat pantas, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan atau Jawi dilaporkan akan mengeluarkan waran tangkap kepada tiga gadis bertudung yang video mereka berpeluk dan bercium dengan artis K-Pop Korea Selatan tersebar luas, baru-baru ini.

Pengarah Jawi, Paimuzi Yahya dilaporkan berkata, pihaknya memberi tempoh selama tujuh hari kepada ketiga-tiga gadis remaja itu untuk menyerah diri untuk siasatan dan sekiranya gagal, waran tangkap akan dikeluarkan.

Katanya, kes melibatkan mereka itu akan disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) Perbuatan Tidak Senonoh Di Tempat Awam.

Kes ini akan dibawa ke mahkamah dan apa saja hukuman atau denda akan diputuskan, tambahnya lagi.

Walaupun menghargai kecekapan, sikap proaktif dan kepantasan Jawi terhadap perbuatan tidak senonoh gadis-gadis remaja ini sebagai usaha mencegah amalan maksiat dalam masyarakat, rasanya pihak berkuasa agama itu agak keterlaluan dan berlebih-lebihan dalam hal ini.

Ternampak bahawa, mentang-mentang isu melibatkan remaja itu menjadi viral di media sosial dan topik perbualan dalam masyarakat, Jawi seolah-olah ingin "tumpang semangkuk" menunjuk-nunjuk kuasa dan keprihatinan mereka terhadap amalan maksiat dalam negara ini.

Walhal, banyak maksiat lain yang terang-terangan berlaku dalam masyarakat, tidak pula Jawi bersungguh mahu membanterasnya. Maksiat, pergaulan bebas, adegan tidak senonoh di tempat awam, berpeluk dan bercium sebenarnya bukanlah sukar untuk dihidu oleh Jawi jika mereka benar-benar ingin membanterasnya.

Di pusat hiburan, pusat urut, disko, refleksiologi dan banyak lagi bercambah-cambah gejala maksiat, peluk dan cium setiap hari. Pusat-pusat itu pula terletak di tempat terbuka dan di tepi-tepi jalan, bukannya tersorok dan tersembunyi. Di malam minggu, adegannya lebih panas dan menggiurkan lagi.

Begitu juga di taman-taman bunga, taman di sekitar pusat membeli-belah, bahkan di dalam pusat membeli-belah sendiri, adegan berpeluk dan bercium di kalangan remaja ini seperti perkara biasa saja.

Jika ada majlis hiburan, majlis hari jadi atau parti-parti sosial peribadi yang selalunya diadakan di hotel-hotel ternama, pergaulan bebas, berpeluk dan bercium ini lebih dahsyat lagi perlakuannya. Tambahan pula jika turut disertai minuman keras, semuanya bak "dunia ana yang punya".

Dalam masa yang sama, di tv pula, sepanjang masa adegan drama-drama tempatan bukan sekadar berpeluk, bercium, bahkan ada juga aksi mandi berkemban dan berselimut berdua-duaan dengan mesra di atas katil, turut bagaikan perkara biasa juga.

Jika mahu dihuraikan sebenarnya banyak lagi maksiat nyata dan terang-terangan yang sepatutnya lebih diambil peduli oleh Jawi berbanding perlakuan gadis-gadis remaja dengan artis K-Pop itu. Memang diakui tindakan remaja itu salah, tetapi janganlah Jawi hanya "nampak kuman di seberang laut, namun buat-buat buta dengan gajah di depan mata".

Dalam konteks maksiat dan perbuatan tidak senonoh di tempat awam, banyak lagi yang boleh diambil tindakan oleh Jawi. Malah, jika bercium dengan artis boleh dianggap salah, bagamana pula dengan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang juga pernah melakukan perkara yang sama sebelum ini?

Panggillah Rosmah untuk disiasat dan jika enggan, keluarkanlah waran tangkap juga? Kenapa ketika itu Jawi diam saja?

Begitu juga dengan pelakon-pelakon yang menayangkan aksi berpeluk, bercium, berkemban dan bermesra di atas katil sepanjang masa di kaca tv, ambillah juga tindakan yang sama?

Adalah penting untuk Jawi bertindak berdasarkan keutamaan dalam masyarakat. Maksiat dan adegan tidak senonoh lain berlaku sepanjang masa dan berleluasa, manakala aksi remaja dengan bintang K-Pop itu hanyalah aksi terpencil saja. Ia boleh ditangani dalam bentuk yang lain atau secara diam-diam sahaja.

Mengeluarkan waran tangkap seolah-olah penjenayah besar adalah  agak keterlaluan dan boleh menjejaskan masa depan mereka sedangkan pesalah lain yang sepatutnya hadir ke mahkamah pun masih boleh lepas bebas hingga ke luar negara.

Dengan menghebohkan tindakan dalam perkara yang kecil dan remeh, tetapi mengabaikan maksiat yang lebih besar dan terang dalam masyarakat,  hanya mendedahkan Jawi kepada kecaman dan pensendaan masyarakat semata-mata. Dalam kes remaja dengan artis K-Pop ini, tidak perlulah juga Jawi muncul setiap hari di media dengan menunjuk kuasa seolah-olah begitu gila publisiti.

Perlakuan itu sebaliknya hanya memperlihatkan Jawi seolah-olah tidak matang, terangsang dengan perkara remeh, gagal melihat keutamaan dan seperti lagak budak-budak yang belum "masuk jawi" saja.  

Makanya, eloklah Jawi "bersunat" dulu agar tindakannya tidak kekok di mata masyarakat. 

Jika ini dianggap salah dan mahu diberi waran tangkap...



Bagaimana dengan yang ini...



Dan yang ini...Atau yang ini...


Tiada ulasan: