Ahad, 12 Oktober 2014

Suhakam Kecewa, Bimbang Ibrahim Ali Tak Dikenakan Tindakan


Oleh: TAN YI LIANG


Ibrahim Ali
 
 
 
PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kecewa dan bimbang tidak ada tindakan yang diambil terhadap Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali yang didakwa membuat panggilan agar Bible bahasa Melayu dibakar.

"Suhakam sepenuhnya memahami dan menghargai sensitiviti isu-isu agama di negara ini, bahawa setiap individu dan masyarakat tanpa mengira perbezaan dalam kepercayaan, menikmati hak asas dalam agama dan kebebasan untuk menganut kepercayaan mereka seperti yang dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 18 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR)," kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam.

Beliau juga menggesa kerajaan untuk menunaikan komitmen yang dibuat dalam Semakan Berkala Sejagat (UPR) yang kedua tahun lepas.

Beliau menegaskan, komitmen tersebut termasuklah keperluan untuk memerangi segala bentuk diskriminasi terutamanya agama dan untuk melindungi kumpulan minoriti agama di negara ini.

"Adalah amat penting bagi kerajaan untuk memerangi tindakan termasuk ancaman dan gangguan yang menggalakkan pelampau agama dan kebencian di antara komuniti agama yang berbeza bagi menjamin hak asasi semua orang untuk bebas mengamalkan kepercayaan mereka yang telah diamalkan selama beberapa generasi di negara ini," kata Hasmy.

Beliau berkata di Malaysia, keamanan dalam negara dan keharmonian negara adalah yang terbaik dan dijamin melalui dasar dan amalan sederhana.

Dalam jawapan bertulis pada Rabu untuk Lim Guan Eng (DAP-Bagan), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata tiada tindakan akan diambil terhadap Ibrahim mengenai ancaman untuk membakar Bible pada Januari tahun lepas yang membangkitkan kemarahan ahli-ahli politik dan kumpulan Kristian.

Beliau berkata polis telah membuat kesimpulan bahawa kata-kata Ibrahim itu hanya ditujukan kepada individu tertentu dan bukan satu ancaman kepada masyarakat dan dibuat untuk melindungi kesucian Islam.

Beliau berkata Pejabat Peguam Negara telah membuat keputusan untuk tidak mendakwa Ibrahim selepas meneliti konteks ucapannya dan berdasarkan Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam.”

Tiada ulasan: