Jumaat, 17 Oktober 2014

Saman Adun BN: Calon PAS bawa ke Mahkamah Persekutuan

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Dua calon PAS yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan kelayakan dua Adun BN Perak.

Jamil Dzulkarnain dan Mohd Misbahul Munir Masduki yang masing-masing bertanding di Dun Manong dan Rungkup pada PRU13 lalu, telah mengemukakan saman pemula bagi membatalkan kemenangan Adun BN Mohamed Kamil Shafie dan Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Mereka memberi alasan bahawa kedua-dua Adun BN itu bukan penduduk negeri itu apabila bertanding pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lepas.

Menurut mereka, kedua-dua wakil rakyat BN itu tinggal di luar Perak, dengan itu melanggar Perkara 30 Perlembagaan Negeri Perak yang memperuntukkan bahawa seorang ADUN mestilah penduduk tetap Perak semasa dipilih.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof bagaimanapun semalam menolak rayuan tersebut.

Hakim Mohamad Ariff berkata mahkamah berpendapat bahawa saluran sedia ada untuk mencabar pemilihan seseorang calon adalah dengan mengemukakan petisyen pilihan raya seperti termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Kita hormati dengan keputusan Mahkamah Rayuan semalam. Tetapi kita akan terus perjuangkan hak kita mengikut saluran undang-undang yang masih ada.

"Sata telah berbincang dengan peguam, dan kita akan bawa kes ini ke Mahkamah Persekutuan," kata Misbahul Munir ketika dihubungi Harakahdaily.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur tahun lalu membenarkan permohonan kedua-dua Adun BN untuk membatalkan kedua-dua saman itu selepas memutuskan bahawa adalah tidak sesuai bagi calon PAS untuk mencabar keputusan pilihan raya umum dengan mengemukakan saman pemula.

Pada PRU13 lalu, Jamil yang meraih 7,174 undi kalah kepada Mohamed Kamil yang mendapat 7,405 undi.

Misbahul Munir yang mendapat 5,802 undi pula kalah Shahrul Zaman yang memperoleh 6,415 undi.

Kedua-dua mereka diwakili peguam Chan Kok Keong manakala Mohamed Kamil dan Shahrul Zaman diwakili Datuk Hafarizam Harun dan Choo Shi Jin. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: