MALAYSIAKINI
Ketika waktu berlalu menjelang rayuan terkhir Datuk Seri Anwar Ibrahim
terhadap sabitan tuduhan liwat terhadapnya - satu kiraan detik telah
bermula di laman Facebook ketua pembangkang itu - yang menurutnya,
tinggal 21 hari lagi.
Rayuannya dijadualkan untuk didengar selama dua hari, mulai 28 Oktober,
di mana ahli parlimen Permatang Pauh itu akan mengetahui nasibnya sama
ada akan menjalani hukuman penjara atau akan dibebaskan.
Pada tahun 2004, Anwar dibebaskan daripada tuduhan liwat pertamanya oleh
Mahkamah Persekutuan selepas menghabiskan masa enam tahun di dalam
penjara.
Kes
Liwat II terhadap Anwar bermula sebaik selepas beliau mengumumkan
hasratnya untuk bertanding kerusi Permatang Pauh pada Ogos 2008 selepas
tamat tempoh larangan lima tahun berpolitik.
Kerusi itu dikosongkan oleh isterinya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari
Azlan di kondominium Desa Damansara di Kuala Lumpur antara jam 3 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Seperti tuduhan yang pertama, Anwar mendakwa ia diada-adakan oleh musuh
politik beliau. Namun beliau memenangi kerusi Permatang Pauh, kerusi
yang disandangnya selama 17 tahun ketika beliau dalam Umno.
Langkah Kajang
Selepas empat tahun kes itu dibicarakan di mahkamah, dari tahun 2008
hingga awal 2012, yang menyaksikan 26 saksi pendakwaan dan tujuh saksi
pembelaan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Anwar
telah dibebaskan.
Bagaimanapun
berikut Langkah Kajang di mana Anwar merancang untuk bertanding kerusi
DUN Kajang dalam usaha untuk menjadi menteri besar Selangor pada awal
tahun ini, rayuan pihak pendakwa terhadap rayuan sabitan kes Liwat II
telah diawalkan dari tarikh asalnya pada April kepada bulan Mac.
Dalam keputusanya, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan mendapati Anwar
bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.
Rayuan Anwar di Mahkamah Persekutuan - mahkamah tertinggi di negara ini -
adalah peluang terakhir beliau untuk mendapatkan kebebasan.
Jika beliau terpaksa menjalani hukuman penuh selama lima tahun itu, maka
ahli politik yang berumur 67 tahun itu akan berusia 72 tahun apabila
beliau keluar penjara. Ditambah dengan tempoh larangan lima tahun
berpolitik, ini mungkin menandakan berakhirnya kerjaya politik beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan