MALAYSIAKINI
Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan agar
sekolah agama dibuka ktepada golongan bukan Islam bagi mengeratkan
hubungan dan memberi pemahaman tentang Islam.
Felo di Universiti Oxford itu berkata hal itu penting untuk menjadikan
pemimpin dalam sesebuah masyarakat pelbagai kaum dan agama, individu itu
perlu memahami perbezaan antara mereka dan mengetahui pendekatan yang
sesuai.
"Sekolah agama di negara kita biasanya hanya tertumpu kepada
pelajar-pelajar muslim sahaja. Ini sering menyebabkan ada lulusan
sekolah agama kurang memahami latar pihak lain. Sama halnya dengan
sekolah aliran kaum tertentu.
"Oleh kerana Islam itu memimpin, saya mencadangkan untuk sekolah aliran
agama Islam membuka ruang dalam peratusan tertentu untuk pelajaran
non-muslim juga jika ada yang ingin belajar.
"Jika sekolah-sekolah missionary Kristian mampu melakukannya, mengapa kita tidak?" tulis beliau di laman Facebooknya malam tadi.
Kenyataan beliau ini hadir ketika sebuah akhbar melaporkan seorang
pemimpin Umno mencadangkan sekolah vernakular Cina ditutup kerana
melahirkan pelajar yang tidak menyokong kerajaan.
Bagaimanapun ia dibidas oleh rakan sekutu dalam BN - Gerakan - yang menentang sama sekali cadangan itu.
Dr Mohd Asri yang terkenal dengan idea progresif dalam Islam turut
menggariskan beberapa kebaikan yang mampu memberi manfaat kepada negara
dan masyarakat Islam.
Antaranya ialah menjadikan pelajaran amali untuk para pelajar muslim
bagaimana berinteraksi dengan non-muslim secara harmoni dan toleransi
seperti yang diajar oleh Islam.
Beliau turut menyatakan idea itu mampu mengurangkan jurang salah faham
antara agama, memperlihat kepada masyarakat keluasan dan kemampuan Islam
mendidik dan mendamaikan antara manusia serta mengelakkan lulusan agama
dalam negara menjadi defensif dan memahami pendekatan sesuai bergaul
dalam masyarakat berlainan agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan