Khamis, 11 September 2014

Projek tebatan sekerat jalan punca banjir

ASLANI M |



 


TUMPAT: Sebelum dibina batas air masin di Kampung Bendang Pak Yong sehingga ke sempadan di Dun Meranti, banjir yang melanda cepat surut.

Bagaimanapun selepas jalan keselamatan (Kesban) yang juga dijadikan sebagai batas mengelakkan air masin masuk ke sawah siap dibina, banjir melanda lambat surut.

Penyelia Dun Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim berkata, banjir menenggelamkan Kampung Simpangan, Kubang Sawa, Bendang Pak Yong dan Juluk sehingga dua minggu.

“Maka tidak hairanlah orang kampung menggelarkan sebagai banjir air termenung. Termenung kerana penduduk tidak boleh melakukan apa-apa aktiviti sepanjang ditenggelami bah.

“Hendak pergi membeli keperluan harian pun terpaksa menaiki sampan melintasi beberapa kampung. Penduduk juga tidak dapat melakukan sebarang pekerjaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Biar pun dalam kesibukan kempen pilihan raya kecil Dun Pengkalan Kubor beliau sedia meluangkan masa untuk ditemubual petang semalam.

Selepas itu beliau menghadiri mesyuarat Perhubungan PAS Negeri yang diadakan di Markas Operasi PRK Pengkalan Kubor di Kampung Tebing.

Menurut Wan Rosdi masalah dihadapi penduduk mendapat perhatian kerajaan negeri, di mana setiap musim tengkujuh bantuan banjir bernilai lebih RM40,000 diberi kepada mangsa banjir.

Katanya beliau bersama petugas Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Kubor menghantar keperluan harian kepada penduduk yang terperangkap menggunakan bot.

“Pada akhir 2012 saya terpaksa mencari dana sehingga RM70,000 termasuk disumbang kerajaan negeri bagi menyediakan keperluan asas diagih kepada penduduk.

“Bantuan diagih dari rumah ke rumah kerana keseluruhan kawasan itu ditenggelami air bah. Rumah saya juga tenggelam. Di halaman rumah di paras dada,” ujarnya yang juga tinggal di Kampung Bendang Pak Yong.

Penghulu Bendang Pak Yong, Mohd Azmi Ibrahim berkata, banjir air termenung berlaku kerana projek batas air masin yang dibina kerajaan pusat hanya sekerat jalan.

Katanya, projek itu hanya berakhir di Kampung Kuala Jambu dan dari kampung tersebut ke Rantau Panjang jalan yang dibina lebih rendah.

Menurutnya air banjir yang masuk melalui kampung tersebut akan terperangkap tidak boleh keluar kerana pintu air dibina kecil.

“Pintu air yang dibina di Kampung Naga Ibu tidak sepadan dengan air yang deras mengalir masuk dari arah Meranti. Air hanya surut dalam tempoh agak lama,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, masalah banjir hanya akan dapat diatasi sekiranya projek tebatan dibina sehingga ke Rantau Panjang seperti dilaksanakan di sebelah Thailand.

Sebelum ini kerajaan pusat acap kali menguar-uarkan projek tebatan banjir antara Rantau Panjang ke Pengkalan Kubor, namun ia tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: