Isnin, 15 September 2014

PKR kecam KDN rampas Suara Keadilan

MALAYSIAKINI


 


PKR mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 300 akhbar Suara Keadilan di beberapa kawasan di Kedahantaranya di Jitra, Kuala Kedah, Alor Setar, Pendang dan Kepala Batas, pada 10 September lalu.

"Saya difahamkan bahawa para peniaga yang menjual Suara Keadilan di kawasan-kawasan itu telah diberi amaran, jika mereka terus menjual akhbar tersebut maka kedai-kedai mereka akan ditutup," kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

"Jika benar, perkara ini amat mendukacitakan dan cukup zalim. Pihak KDN perlu mengesahkan sama ada perkara ini benar-benar berlaku, dan jika ya, amalan ini wajib dihentikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Portal KeadilanDaily - versi atas talian Suara Keadilan -  hari ini melaporkan lebih 300 naskah akhbar rasmi PKR Suara Keadilan keluaran minggu lepas dilapor dirampas KDN di negeri jelapang padi itu.

Akhbar keluaran 189 itu antaranya mengetengahkan isu sekitar krisis menteri besar Selangor dengan laporan muka depan berjudul “Kekal satu nama, tidak berubah ”.

Ia dihias dengan gambar Presiden PKR Datuk Seri Azizah Ismail, yang juga calon baru menteri besar, merafak sembah sultan Selangor.

Muka depan Suara Keadilan juga memaparkan tajuk kecil berbunyi "Akta Hasutan: Muhyiddin Sahkan Najib Berbohong".

Fahmi turut menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi menjelaskan status permohonan permit Suara Keadilan yang dihantar sejak tahun lalu.

Beliau turut meminta kerajaan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang jelas mengekang kebebasan bersuara yang diperuntuk dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun akta tersebut telah dipinda pada 2012, namun pindaan tersebut tidak mencukupi dan akta itu masih bersifat kukubesi dan tidak demokratik.

"Perdana Menteri harus menunjukkan kesungguhan politik sebagai seorang "demokrat moderat" dan memansuhkan akta ini dengan segera," katanya.

Tiada ulasan: