MALAYSIAKINI
Istana Selangor menyifatkan tindakan PKR dan DAP yang hanya
mengemukakan nama Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sahaja
sebagai "engkar" kepada titah Sultan yang meminta mereka mencalonkan
lebih daripada dua nama sebagai calon MB.
Setiausaha
Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata istana
menganggap perbuatan kedua-dua parti itu sebagai "menggambarkan
kebiadapan kepada institusi raja" dan "merupakan perbuatan derhaka"
kepada baginda.
Dukacita dengan tindakan kedua-dua parti itu, beliau berkata PAS pula
akur dengan permintaan baginda sultan seperti dalam surat bertarikh 27
Ogos lalu.
"Manakala parti-parti DAP dan Keadilan telah masing-masing mengemukakan
hanya satu nama yang sama iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai
calon Menteri Besar Selangor.
"DYMM Sultan Selangor amat merasa dukacita di atas tindakan parti-parti
DAP dan Keadilan yang engkar terhadap titah baginda bertarikh 27 Ogos
2014.
"Tindakan parti DAP dan parti Keadilan ini menggambarkan kebiadapan
kepada Institusi Raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah
DYMM Sultan Selangor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehingga tarikh akhir penyampaian nama calon kepada Istana 3 September
lalu, PKR dan DAP hanya mempersembahkan nama Dr Wan Azizah sebagai calon
tunggal menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.
PAS pula mengemukakan dua senarai dan salah satunya senarai
mempersembahkan tiga nama iaitu dua dari ADUN PKR dan satu dari partinya
sendiri.
Dalam kenyataannya juga, Mohamad Munir berkata titah Sultan Selangor
supaya mengemukakan lebih dua calon MB adalah satu amalan/konvensi yang
dilaksanakan baginda.
Katanya, ini membolehkan baginda membuat pilihan calon yag mendapat
sokongan majoriti ahli Dewan Negeri serta mempunyai "kemahiran,
pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang ADUN tersebut."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan