Sabtu, 13 September 2014

Petrol tidak akan dikecualikan daripada GST?

GST_petrol

Roketkini.com


IPOH: Kerajaan diminta menjelaskan kepada rakyat Malaysia sama ada bahan bakar keperluan utama pengguna, iaitu petrol. tidak akan dikecualikan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Biro Pembangunan Ekonomi DAP Perak Chong Zhemin berkata, beliau merujuk kepada laporan akhbar Sin Chew Jit Poh yang memetik kenyataan Jabatan Kastam Malaysia dalam sebuah forum bahawa petrol tidak akan dikecualikan daripada GST.

Menurut Chong, penolong pengarah kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Isa Daud menyatakan bahawa cukai GST di Malaysia adalah cukai progresif dan bukannya cukai regresif.

“Ini bukan sahaja satu kenyataan yang mengelirukan dari Isa , tetapi satu percubaan terdesak untuk mewajarkan pelaksanaan GST,” kata Chong dalam satu kenyataan.

Jun lalu, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk tidak mengenakan GST ke atas petrol dan diesel apabila sistem percukaian baru itu dilaksanakan pada April 2015.

Namun kata Ahmad, kerajaan bakal kehilangan hasil jika GST tidak dikenakan ke atas petrol dan diesel, dan hanya dapat ditampung melalui pelan rasionalisasi subsidi.

Kenyataan ini menimbulkan kebimbangan ramai bahawa cukai GST bakal dilaksanakan dan memberi kesan langsung terutamanya kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Kata Chong, petrol adalah produk yang mendapat subsidi kerajaan dan tindakan mengenakan cukai GST keatasnya adalah sama dengan menghapuskan subsidi petrol.

Kini, harga semasa minyak petrol jenis RON95 bersubsidi adalah pada kadar RM2.10 seliter, dan langkah mengenakan GST ke atas RON95 akan menaikkan harganya kepada RM2.23 seliter
“Ini tidak ada beza dengan menghapuskan RM0.13 sen bagi setiap liter petrol bersubsidi,” kata Chong.

Katanya, walaupun kerajaan menyenaraikan beberapa keperluan asas seperti barang cukai sifar, golongan berpendapatan rendah hanya akan dapat membeli barangan tersebut, berbanding golongan berpendapatan tinggi yang berpeluang menyimpan sebahagian pendapatan mereka.

Chong memberikan contoh bahawa seseorang yang berpendapatan rendah mendapat gaji bulanan RM1,000 yang membelanjakan keseluruhan pendapatan bulanannya, akan membayar enam peratus cukai GST, iaitu bersamaan RM60.

Sebaliknya, seseorang berpendapatan tinggi yang mendapat gaji RM6,000 sebulan berpeluang menyimpan sebahagian pendapatannya dengan mengandaikan dia menyimpan RM3,000 dan membelanjakan RM3,000, maka jumlah cukai GST yang dibayar hanya RM180, iaitu tiga peratus dari pendapatan bulanannya.

“Saya menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengkaji semula keputusannya untuk mengenakan GST ke atas petrol dan menyenaraikannya sebagai produk cukai sifar di bawah GST untuk mengelakkan peningkatan beban kepada rakyat,” tegas Chong. – Roketkini.com

Tiada ulasan: