Khamis, 11 September 2014

Pendapatan RM5,900 sebulan: Kita tahu ia mengarut

STEVEN SIM 


Lazim dikatakan bahawa ahli politik kerap menipu. Sebenarnya, ahli politik lebih kerap memberi kita statistik. Apa perbezaannya? Mark Twain memberitahu: “Terdapat tiga jenis penipuan; penipuan, penipuan celaka, dan statistik.”

Statistik terbaru yang ditayangkan dengan bangga oleh kerajaan Malaysia ialah laporan bahawa pendapatan isi rumah di negara kita telah melepasi RM5,900 sebulan. Perkara ini disebut oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar, bekas taukeh Maybank yang dilantik ke dalam Kabinet sebagai “Menteri Ekonomi”. (http://www.bernama.com/bernama/v7/newsindex.php?id=1066627)

Gerak hati kita tahu kenyataan tersebut mengarut. Kenapa?

Ini kerana ramai keluarga yang kita kenali, mungkin termasuk keluarga kita sendiri, tidak mempunyai pendapatan RM5,900 sebulan.

Ini kerana kerajaan sendiri telah mewar-war bahawa program BR1M telah memanfaatkan sebanyak 80% isi rumah di Malaysia. Berdasarkan syarat untuk menerima BR1M, iaitu pendapatan bulanan isi rumah mesti kurang daripada RM3,000 sebulan, maka bagaimana pula Menteri Ekonomi kata pendapat isi rumah sudah lebih RM5,900 sebulan sedangkan majoriti besar isi rumah menjadi penerima BR1M?

Ini kerana dalam sidang Parlimen yang lepas di September 2013, kerajaan dalam menjawab soalan saya menyatakan bahawa 82.5% orang muda Malaysia yang berumur 30 ke bawah, bergaji kurang daripada RM3,000 sebulan. Golongan ini merupakan satu pertiga daripada jumlah tenaga kerja di Malaysia.

Ini kerana mengikut laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012 (PPRI/KA 2012), 40% terbawah (“bottom 40%) isi rumah Malaysia hanya berpendapatan kira-kira RM1,800 sebulan.

Tambahan pula, walaupun PPRI/KA 2012 melaporkan isi rumah Malaysia sudahpun berpendapatan RM5,000 sebulan pada tahun 2012, 50% daripada isi rumah Malaysia sebenarnya berpendapatan kurang daripada RM3,626 sebulan.

Bagaimana ini boleh terjadi?

Statistik, seni “putar belit” rasmi

(Kaveat: saya sebenarnya suka akan statistik kerana dengan penggunaan yang bertanggungjawab ia memberi perspektif berguna bagi memahami realiti)

Menteri Ekonomi menggunakan laporan PPRI/KA 2014 terbaru, yang masih tidak dimuatatas ke laman web Jabatan Statistik Malaysia. Maka, saya akan menggunakan laporan PPRI/KA 2012 untuk menunjukkan bagaimana pak menteri mempergunakan statistik bagi melakar gambaran yang “indah khabar dari rupa” tentang pendapatan kita.

Abdul Wahid menggunakan min pendapatan isi rumah untuk menunjukkan pendapatan isi rumah sudah mencapai RM5,900 sebulan. Sebenarnya dalam PPRI/KA  2012 yang saya sebut di atas, min pendapatan isi rumah sudah mencecah RM5,000 sebulan. Ini diperoleh daripada membahagikan jumlah keseluruhan pendapatan semua isi rumah dengan jumlah isi rumah tersebut; iaitu mengambil puratanya.

Kita sedia maklum cara ini berkesan sekiranya nilai-nilai dalam suatu set data cukup dekat dengan satu sama lain; dalam erti lain, cara ini berkesan sekiranya semua isi rumah yang dibanci mempunyai pendapatan yang lebih kurang sama. Sebaliknya, jika wujud satu atau dua nilai yang tinggi dalam set data tersebut, purata akan menjadi tidak tepat. Sebagai contoh: Jika diambil purata gaji Bill Gates dan beberapa orang pekerja bawahan yang lain, maka setiap satunya akan menjadi jutawan.

PPRI/KA 2012 juga melaporkan bahawa median pendapatan isi rumah di Malaysia hanya RM3,626. Median memberikan gambaran yang lebih tepat sekiranya set data mengandungi nilai-nilai yang amat berbeza antara satu sama lain. Set data tersebut dibahagikan kepada dua, nilai-nilai atas dan nilai-nilai bawah, dengan nilai median di tengah. Justeru, menurut laporan PPRI/KA 2012, separuh daripada isi rumah Malaysia sebenarnya berpendapatan kurang daripada RM3,626 sebulan, walaupun secara puratanya pendapatan adalah RM5,000 sebulan.

Kedua-dua merupakan statistik yang sah, jadi di mana masalahnya?

Masalah dengan “ketidakjujuran” ini bukannya kerajaan menipu kita, tapi kerajaan menipu diri sendiri. Apabila kerajaan telah berbangga dengan “pencapaian” tersebut, maka ia sekali gus gagal melihat keadaan seadanya dan usaha-usaha yang masih perlu dilaksanakan.

Dalam sidang parlimen pertama saya pada tahun 2013, Menteri Ekonomi yang sama dengan megahnya memaklumkan Dewan Rakyat, kerana kadar pengangguran berada di bawah paras 4%, maka mengikut ahli ekonomi John Maynard Keynes, Malaysia boleh dianggap mencapai penggajian penuh (“full employment”).

Sejak masa itu, saya telah berkali-kali menunjukkan bahawa perspektif “syok sendiri” sebegini telah membutakan kerajaan terhadap situasi penggajian yang benar dalam negara ini dan masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dalam sektor pekerjaan termasuk kadar pengangguran tinggi dalam kalangan anak muda, isu “underemployment”, amalan industri yang tidak adil, diskriminasi jantina di tempat kerja, kebergantungan tinggi Malaysia kepada pekerja migran berkemahiran rendah dan penghijrahan cerdik pandai (“brain drain”).

Justeru, dalam kes ini juga, sekiranya seorang pemimpin bertaraf Menteri Ekonomi mengatakan bahawa kita sudahpun berpendapatan RM5,900 sebulan, besar risikonya kerajaan akan terlepas pandang masalah sebenar: gaji rendah, kos hidup yang tinggi, hutang isi rumah dan hutang individu yang tinggi dan jurang pendapatan yang semakin melebar.

Biarpun banyak laporan menunjukkan pertumbuhan ekonomi, kita telah gagal dalam tempoh 20 tahun ini untuk mengecilkan jurang ketidaksamarataan.

Menurut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni, Indeks Gini Coefficient Malaysia, yang mengukur ketidaksamarataan (0 bermaksud sama rata sempurna, 1 bermaksud tidak sama rata sempurna), adalah 0.431 pada tahun 2012 dan merupakan antara yang tertinggi di rantau ini, berbanding negara-negara seperti Thailand (0.4) dan Indonesia (0.37).

(http://www.thestar.com.my/business/business-news/2013/08/03/malaysias-income-distribution-inequality-still-high/)

Maka, masalah paling besar bercakap bohong bukannya orang lain akan percaya, tapi pembohong sendiri mempercayai bohong-bohongnya itu.

*Penulis merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Tiada ulasan: