Jumaat, 5 September 2014

Najib harus jelaskan kemungkiran janji memansuhkan Akta Hasutan

 
KPRU berpendapat, kini tiba masanya akta tersebut dimansuhkan dan menegaskan tindakan terhadap wartawan Susan Loone adalah tidak masuk akal.

najib300


PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), Ooi Heng berkata kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah berjanji memansuhkan Akta Hasutan 1948 adalah suatu perkara yang memeranjatkan.

Menurut Ooi, pada 11 Julai 2012, dua tahua sebelum ini dan setahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, Najib telah menjanjikan untuk memansuhkan akta tersebut.

“Malah dua bulan selepas PRU-13, iaitu pada 2 Julai 2013, Najib memberitahu British Broadcasting Corporation (BBC) bahawa akta tersebut akan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional.

“Kini setelah siri pendakwaan terbaru di bawah Akta Hasutan dikenakan terhadap Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, ahli politik, aktivis, ahli akademik dan wartawan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanggungjawab atas bidang perundangan menyatakan bahawa kenyataan Najib sebelum ini tidak bermaksud sebegitu,” katanya.

Tambah Ooi, beliau berpendapat, Najib sendiri haruslah menjelaskan kepada rakyat kemungkiran janji tersebut dan apakah yang berlaku sebenarnya.

“KPRU ingin bertanya, apakah kemungkiran janji tersebut ekoran desakan dan tekanan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad?

“Apakah desakan Tun Mahathir termasuk mendakwa wartawan, ahli akademik dan juga memenjarakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” soalnya.

Jelasnya lagi, kemungkiran janji tersebut dan siri pendakwaan berkaitan lebih merupakan sebahagian daripada strategi Najib yang juga merupakan Presiden Umno dalam melumpuhkan Pakatan Rakyat yang berada pada keadaan umbang-ambing.

“KPRU berpendapat, kini tiba masanya akta tersebut dimansuhkan dan menegaskan tindakan terhadap wartawan Susan Loone adalah tidak masuk akal.

“Tindakan tersebut menunjukkan, rejim pemerintah memastikan media arus perdana yang dikawalnya memainkan peranan memujuk rakyat supaya menerima pemerintahannya tanpa mempertikaikan tindak-tanduknya yang bermasalah,” katanya dalam satu kenyataan.

Tegas Oii, begitu juga dalam hal ahli akademik yang rancak menyuarakan pendapat sehingga mampu mempengaruhi pandangan umum.

“KPRU berpendapat, kebebasan akademik dan kebebasan media bukanlah hujah utama yang dapat menonjolkan permasalahan yang kita hadapi hari ini apabila hujah sedemikian meminggirkan sekumpulan ahli politik yang juga berdepan dengan tindakan represif rejim pemerintah.

“Dalam kita mempertahan hak dan kebebasan bidang masing-masing, jangan kita terperangkap dengan minda ‘pecah dan perintah’ sehingga mengasingkan ahli politik yang juga berdepan dengan tindakan represif daripada golongan bukan ahli politik,” ujarnya.

Tiada ulasan: