Rabu, 10 September 2014

MB: “Semak fakta air dulu, jangan tembak sana sini”

Oleh: AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membidas kenyataan Charles Santiago dengan meminta supaya Ahli Parlimen Klang itu menyemak fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan berhubung isu air di negeri Selangor.

Beliau berkata Charles tidak mempunyai kefahaman tentang itu sama seperti dakwaan yang pernah dikeluarkan sebelum ini bahawa air di kolam takungan beracun dan tidak selamat untuk digunakan.

“Kefahaman saya ialah bahawa orang profesional perlu semak fakta dulu sebelum membuat kenyataan, kalau tak kita akan dikatakan tidak membantu komuniti dan masyarakat.

“Dalam bahasa kedai kopi, asyik menembak sana sini sahaja dia tidak akan memberi nilai, walaupun nampak menjadi pak sibuk tetapi sibuk itu tidak memberi manfaat kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Terdahulu, Charles berkata Abdul Khalid tidak patut menandatangani perjanjian industri air di antara Selangor dan kerajaan Persekutuan kerana beliau kini dianggap seorang Menteri Besar sementara.

Katanya ia akan menimbulkan persoalan tentang perjanjian bernilai RM9.5 bilion itu memandangkan semua pihak maklum yang Selangor sekarang berada dalam proses peralihan kepimpinan.
Beliau turut mencadangkan supaya perjanjian itu ditangguhkan dahulu sehingga kepimpinan baru mengambil alih pentadbiran.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai perjanjian industri air yang masih belum dimeterai, Abdul Khalid mensasarkan ia akan dimuktamadkan dalam minggu ini atau selewat-lewatnya minggu depan.

Katanya draf perjanjian itu sudah sampai ke kemuncak dan segala keputusan termasuk isu Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash) yang masih enggan menerima tawaran Kerajaan Negeri akan dimaklumkan sebaik sahaja ia ditandatangani.

“Banyak agensi yang perlu menjadi sebahagian daripada perjanjian itu termasuk Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan lain-lain.

“Ia adalah meletakkan semua perkara dalam satu susunan supaya apabila kita tandantangan perjanjian utama, segalanya dalam keadaan baik dan tidak perlu dibincangkan lagi,” katanya lagi.EZY

Tiada ulasan: