Rabu, 3 September 2014

Kemelut MB: PAS perlu ikut konsensus Pakatan, kata Penganalisis

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Pendekatan yang berbeza antara PAS dan PKR berhubung titah Sultan Selangor dalam isu nama menteri besar, akan mengundang persepsi negatif rakyat negeri ini terhadap Pakatan Rakyat (Pakatan).
 
Apatah lagi dengan pandangan beberapa pemimpin dari kedua-dua parti itu yang secara jelas menyanggah antara satu sama lain. 
 
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, walaupun tidak menjadi kesalahan untuk PAS dan PKR mempunyai pendirian berbeza berhubung-isu pencalonan jawatan itu, adalah lebih molek sekiranya ketiga-tiga parti berpegang dengan konsensus yang dicapai sebelum ini.   
"Pendekatan PAS tidak salah cuma tidak berdasarkan konsensus. Pandangan PKR dan DAP juga tak salah kerana tafsiran perlembagaan mengatakan bahawa rakyat itu mesti didahulukan.
 
"Kalau parti politik yang dipilih oleh rakyat itu sudah membuat keputusan, hantar kepada Sultan untuk baginda menggunakan budi bicara kerana PR sebenarnya yang berhak beri pandangan berikutan ianya diyakini mempunyai majoriti lebih dalam DUN. 
 
"Alangkah cantiknya begitu kerana kita harus lihat bahawa persepsi masyarakat yang melihat PR sebuah entiti yang memerintah Selangor sejak 2008. Jadi kepercayaan rakyat itu, mahu atau tidak, bergantung kepada sejauh mana keeratan kedudukan parti politik itu," katanya kepada Antarapos.
 
Namun, Shaharuddin dalam pada itu juga berkata, walaupun menjadi hak PAS untuk mengemukakan keputusannya, parti Islam itu tidak sewajarnya 'mengubah' atau dilihat bermain tarik tali berhubung perkara itu.  
 
"PAS sendiri jangan terlalu banyak membuat keputusan dalam beberapa minggu. Bagi saya, kalau mereka membuat keputusan untuk menghantar dua nama, hantar sajalah dua nama. 
 
"Itu terpulang kepada parti, walaupun ia bertentangan dengan PKR dan DAP yang cuma mahu menghantar satu nama. Itupun PAS kena hormati," katanya lagi. 
 
PAS dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusatnya pada 17 Ogos lalu memutuskan untuk menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu, namun pada masa sama mengemukakan nama alternatif, iaitu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
 
Namun dalam  Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada sebelah petang hari sama, PAS kemudiaannya bersetuju dan selari dengan PKR dan DAP untuk mengangkat satu nama sahaja, iaitu Wan Azizah bagi mengisi jawatan tersebut.
 
Namun pada 26 Ogos iaitu apabila Sultan Selangor menitahkan agar setiap parti dalam Pakatan Rakyat mencadangkan lebih daripada dua nama kepada baginda untuk diperkenan sebagai Menteri Besar Selangor, PAS dilihat mengubah pendiriannya.
 
Parti itu kemudiannya mengadakan perbincangan semula bagi mempertimbangkan titah tersebut dan memutuskan untuk menghantar lebih daripada satu nama, sekali gus bercanggah dengan konsensus gabungan pembangkang itu yang dicapai sebelum ini.
 
Teka-teki berhubung nama yang akan dikemukakan PAS kepada pihak istana hanya akan diketahui hari ini setelah ianya diserahkan.

Tiada ulasan: