Rafizi Ramli Rafizi Ramli
 
 
 
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sependapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung hutang dan penggunaan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut Rafizi, kedudukan kewangan 1MDB dan pengurusannya yang tidak telus merupakan ancaman kepada kestabilan ekonomi

"Saya selalunya berbeza pendapat dengan Tun Mahathir dalam banyak perkara. Namun, saya menyokong penuh pendirian dan pendapat Tun mengenai 1MDB.

"Malah, saya berpendapatan kedudukan kewangan 1MDB dan pengurusannya yang tidak telus merupakan satu ancaman kepada kestabilan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mendakwa, hutang 1MDB yang dilaporkan melebihi RM 30 bilion itu merupakan di bawah tanggungjawab kerajaan.

"Datuk Seri Najib Tun Razak menjawab dalam Parlimen bahawa hanya RM5 bilion sahaja hutang 1MDB yang dijamin kerajaan. Beliau menjawab secara rasmi bahawa jumlah hutang yang lain tidak dijamin oleh kerajaan.

"Hasil siasatan saya setakat ini menunjukkan bahawa keseluruhan hutang 1MDB berjumlah RM 30 bilion itu adalah tanggungjawab sepenuhnya kerajaan.

"Ini bermakna bahawa sekiranya 1MDB gagal melunaskan hutang-hutang tersebut, kerajaan Malaysialah yang bertanggungjawab melangsaikan hutang itu dan sudah tentu menggunakan wang rakyat," katanya.

Sehubungan itu beliau bakal mendedahkan dokumen bukti tersebut dalam masa terdekat.

"Saya percaya Tun Mahathir Mohamad mempunyai maklumat yang sama. Sebab itulah beliau tidak dapat menyembunyikan lagi kebimbangan beliau.

"Saya akan mendedahkan dokumen bukti mengenai hutang 1MDB dalam masa terdekat yang menunjukkan Kerajaan Malaysia bertanggungjawa kepada hutang-hutang yang dikumpul 1MDB," katanya.