Harga rumah naik
 
 
 
KUALA LUMPUR - Portal hartanah peneraju Asia, iProperty Group, dalam kajiannnya mendapati kemampuan dan kenaikan harga rumah kekal sebagai isu utama rakyat Malaysia.
 
Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Kumpulan, Georg Chmiel berkata isu utama lain ialah pembiayaan perumahan yang ketat, kadar faedah yang tinggi serta kualiti pembinaan yang rendah.
 
Dalam taklimat media mengenai sentimen pasaran hartanah Asia hari ini, Chmiel berkata berdasarkan kajian itu, rakyat Malaysia percaya peningkatan harga hartanah di negara ini dipacu pembeli asing.
 

Beliau berkata, susulan langkah-langkah sekatan kredit kerajaan dan penguatkuasaan peraturan Bajet 2014, pasaran hartanah lembab sedikit dengan pembeli mengambil sikap berhati-hati serta tunggu dan lihat. 

Menurut laporan Bank Negara Malaysia, pertumbuhan dalam Indeks Harga Rumah Malaysia merosot kepada 9.6 peratus bagi suku keempat tahun lepas berbanding 12.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Jualan dan pelancaran baharu hartanah juga perlahan bagi suku sama, mungkin disebabkan penyesuaian pasaran terhadap pelbagai langkah sekatan yang dilaksana oleh kerajaan.

Kajian iProperty juga menunjukkan 75 peratus responden menyokong langkah-langkah berkaitan pasaran hartanah yang diperkenal dalam Bajet 2014 manakala 18 peratus menganggap langkah itu sebagai tidak bagus dan bakinya tiada keputusan.

"Bagi separuh kedua tahun ini, kami yakin pasaran akan bertambah baik dengan unjuran optimis kerana pemaju dan pembeli sudah memahami dan lebih yakin dengan impak bajet," kata Chmiel.

Beliau berkata, permintaan domestik Malaysia yang kukuh akan mengekalkan momentum ke hadapan pasaran dalam relatif populasi muda dan tenaga kerja Malaysia, meningkatkan urbanisasi serta kecenderungan untuk memiliki rumah.

"Faktor-faktor utama dalam kenaikan harga hartanah ialah keadaan ekonomi, kenaikan gaji dan pertambahan pengaliran masuk pelaburan ke negara ini, justeru semua ini juga harus dilihat dalam perspektif positif asalkan isu kemampuan ditangani," kata Chmiel.
 
Mengenai Bajet 2015, 62 peratus responden mahu kawalan harga rumah yang lebih baik, penambahbaikan dalam pengangkutan awam serta lebih banyak rumah kos rendah dan mampu milik di lokasi strategik, demikian menurut kajian iProperty.

Sehubungan itu Chmiel berkata kerajaan harus membenarkan hartanah dibangun di kawasan yang harganya masih rendah dan hubungkan kawasan itu dengan prasarana yang baik.
 
Beliau berkata, pemaju juga harus diberi lebih banyak insentif bagi membolehkan mereka membina lebih banyak hartanah mampu milik kerana insentif kepada pembeli hanya menyebabkan harga pasaran lebih tinggi. - Bernama