Jumaat, 22 November 2013

Surendran soal Najib: Mengapa Shafee mengetuai pendakwaan kes “Liwat II” Anwar?

OLEH MD IZWAN



















Keputusan Mahkamah Persekutuan membenarkan peguam Umno, Tan Sri Muhammed Shafee Abdullah mengetuai kerajaan dalam kes rayuan "Liwat II" mencalarkan sistem perundangan negara, kata PKR.

Peguam PKR, N Surendran (gambar), berkata keputusan tersebut melanggar konsep keadilan dalam perundangan negara, pada ketika umum mengetahui hubungan rapat Muhammad Shafee dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak serta Umno.

"Keputusan tersebut bertentangan dengan setiap konsep asas kesaksamaan dan keadilan dalam sistem perundangan kita.

"Dalam membuat keputusan itu, Mahkamah Persekutuan gagal dalam tugas mereka berlaku adil kepada Anwar sebagai orang yang dituduh untuk mendapatkan keadilan daripada mahkamah," kkatanya yang juga salah seorang peguam dalam pasukan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keputusan itu mengejutkan kerana tidak pernah dalam sejarah perundangan Komanwel seseorang berstatus seperti Muhammad Shafee akan dilantik sebagai ketua pendakwa raya, malah ia hanya mengakibatkan keyakinan umum terhadap sistem kehakiman negara semakin parah.

"Keputusan tersebut menyebabkan standard pendakwaan di Malaysia rendah dan memalukan.
"Ia hanya akan mengakibatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman negara semakin parah," katanya.

Ahli Parlimen Padang Serai itu turut mendesak Najib supaya menjelaskan mengapa peguam peribadinya itu dilantik mengetuai kes pendakwaan Anwar serta mahu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memecat Muhammad Shafee.

"Najib perlu berhenti berdiam diri dan beri penjelasan mengapa peguam peribadinya dilantik untuk melakukan pendakwaan ke atas Anwar.

"Kami juga meminta Abdul Gani memecat Muhammad Shafee serta-merta," katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Anwar untuk mengenepikanMuhammed Shafee daripada mengetuai pasukan kerajaan yang membuat permohonan rayuan berhubung kes liwat kedua.

Keputusan rayuan kerajaan terhadap kes Anwar itu akan didengar di Mahkamah Rayuan bermula 11 Disember selama dua hari.

Pada 9 Januari tahun lalu, Mahkamah Tinggi melalui Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah melepaskan Anwar daripada sabitan meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari di kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara.

Tiada ulasan: