Jumaat, 22 November 2013

Suami itu Jeneral, isteri itu Major- Suami buat 'general decisions', Isteri buat 'major decisions'

ASPAN ALIAS

Isu yang masih bergema ialah isu kos perjalanan isteri Perdana Menteri kita. Negara kita sudah ada lima isteri-isteri bekas-bekas Perdana Menteri, Dari Tun Sharifah Rodziah sehingga Tun Hendon yang selepas itu di ambil alih oleh Tun Jeane. Kini kita sedang bersama isteri Perdana Menteri Datuk Paduka Datin Seri Hajjah Rosmah binti Mansor. Dalam ramai-ramai isteri-isteri bekas Perdana Menteri ini tidak ada siapa pun yang boleh menandingi Datuk Paduka Datin Seri Hajjah Rosmah binti Mansor ini dalam hal membelanjakan wang rakyat.

Datin Paduka Rosmah merupakan seorang isteri kepada Perdana Menteri yang paling mahal untuk di tanggung oleh kerajaan dan rakyat Malaysia. Dalam pada kerajaan sedang menyusun dasar yang menjimatkan belanja, isteri PM tidak terlibat dengan pengurangan kos kehidupan semua. Rakyat seperti yang di nasihatkan oleh Perdana Menteri supaya mengubah cara hidup kita semua, isterinya masih tidak mahu mengubah cara hidupnya. Kalau ada pun perubahannya ia adalah perubahan ‘from bad to worst’.

Kita tidak boleh membenarkan yang salah, dan menyalahkan yang benar. Kita tidak boleh mengikut jejak langkah Shahidan Kassim, yang bermatian untuk membenarkan yang salah dengan menggunakan berbagai-bagai alasan yang gila tentang perjalanan yang mahal yang terpaksa di tanggung oleh rakyat terhadap isteri Perdana Menteri, yang ayu dan jelita itu.

Dalam keadaaan ekonomi yang tidak menentu ini, kabinet Malaysia masih meluluskan permohonan isteri Perdana Menteri untuk ke luar negara dengan jet eksekutif. Azalina Othman, mendedahkan yang kabinet yang di pengerusikan oleh Muhyiddin telah meluluskan permohonan Rosmah untuk menggunakan jet eksekutif yang sangat mahal itu.

Walau bagaimanapun siapa yang mempengerusikan mesyuarat kabinet yang meluluskan permohonan Rosmah itu tidak penting. Yang pentingnya kabinet telah meluluskan permohonan itu. Oleh yang demikian, kabinet harus bertanggungjawab ke atas kesalahan moral dan politik UMNO yang memerintah dalam meluluskan permohonan itu.

Kalau di ikut cara dan etika pemerintahan kerajaan negara maju, seluruh kabinet perlu meletakkan jawatan kerana mereka juga bertanggungjawab. Mereka yang ramai-ramai dalam kabinet itu semuanya tumpang bersalah dan mereka wajar mengambil semua ‘accountability’ itu.

Yang terbaik bagi seorang isteri Perdana menteri ialah dengan hanya menjadi seorang isteri, seperti isteri-isteri Perdana Menteri sebelum Rosmah. Budaya kita orang melayu, jangan sekali-kali isteri melebihi suami dalam pengurusan kerajaan terutamanya dalam hal kabinet mengambil keputusan. Ini isu serius kerana banyak kepimpinan negara telah terhempas kerana isteri.

Suami itu ibarat seorang Jeneral dalam sesuatu keluarga dan isteri itu ibarat seorang yang berpangkat Major. Tetapi dalam kes kita di sini, suami nampaknya hanya mengambil ‘general decisions’ dan isteri pula mengambil ‘major decisions’.

Perkara seperti ini pun, mereka dalam kabinet tidak tahu meluluskan permohonan menggunakan jet eksekutif itu adalah salah tetapi tiada siapa yang berani menolak permohonan ini.

Itulah sebabnya selalu saya katakan yang ahli jemaah kabinet kerajaan sekarang ini, merupakan mereka yang tidak tahu dan memahami apa yang salah dan yang benar. Patut lah kita mendengar penerangan tentang isu ini dari orang seperti Shahidan Kassim yang tidak tahu di mana moral dan di mana tanggungjawab.

Kita tidak boleh mengambil isu ini sambil lewa sahaja. Rakyat sedang di tarik balik subsidi yang mereka telah dapati selama ini bagi berkorban untuk negara. Mereka sanggup menanggung kos kehidupan yang begitu tinggi hasil dari pengurangan subsidi ini. Bagaimana mereka (rakyat) hendak menerima sikap isteri seorang Perdana Menteri yang membelanjakan wang rakyat untuk jet peribadi bagi urusan yang bukan pun urusan kerajaan.

Masalahnya kabinet yang sepatutnya bertanggungjawab pun tidak bertanggungjawab. Mereka hanya menjadi ‘pak hangguk’ kepada isteri Perdana Menteri dan ini adalah satu penghinaan terhadap rakyat yang rata-rata susah. Tidak boleh kah isteri Perdana Menteri menggunakan penerbangan MAS sahaja.? Rakyat di suruhnya berkorban tetapi keluarga Perdana Menteri membelanjakan wang rakyat seolah-olah wang itu boleh di petik dari pokok sahaja.

Apa pun alasan yang di berikan, penggunaan jet ini sememangnya tindakan yang tidak bertanggungjawab. Ia mesti di hentikan serta merta. Jika tidak mampu untuk memberhentikan sikap dan tindakan boros keterlaluan ini, elok seluruh kabinet itu berhenti sahaja.

Ada orang atau pihak mesti berhenti kerana isu ini. Kita tidak lagi mahu kepimpinan bisu dan tuli memerintah kita. betullah kata orang tua-tua, ‘kalau dah tuli itu, tuli juga’.

Saya menyeru kepada semua termasuk diri saya sendiri agar berusaha dengan ‘intensive’ agar kita di buka hijab oleh Allah swt. Jika terbuka hijab itu insyaallah kita akan ada sifat malu, kalau tidak banyak sedikit pun memadai..

Tiada ulasan: