Jumaat, 22 November 2013

Permohonan bekas pengarah NFC batal tuduhan pecah amanah ditolak

OLEH MUZLIZA MUSTAFA

Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail (kanan) bersama isteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Gambar fail.Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail (kanan) bersama isteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Gambar fail. 

















Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Pengarah National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail untuk membatalkan tuduhan pecah amanah jenayah yang dikenakan terhadapnya.

Mohamed Salleh adalah suami kepada ahli politik terkenal yang juga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Hakim Norsharidah Awang berkata, permohonan itu dinafikan berikutan mahkamah mendapati tiada kecacatan terhadap pendakwaan dan ada kes itu mempunyai asas untuk didengar dalam perbicaraan.

Norsharidah menetapkan 8 Januari depan untuk sebutan.

Peguam Harjinder Singh mewakili Mohamed Salleh bagi pihak peguam, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah.

Pendakwaan diketuai Dzulkifli Ahmad.

Terdahulu, Harjinderjit memohon supaya kes itu ditangguhkan tetapi ditolak berikutan mahkamah mendapati kes itu sudah lama tertangguh.

Mohamed Salleh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan pecah amanah jenayah dan melanggar Akta Syarikat berkaitan dana persekutuan RM49 juta yang diberikan kepada NFCorp pada 12 Mac tahun lalu.

Tertuduh berusia 64 tahun itu mengaku tidak bersalah atas tuduhan pecah amanah berkenaan dan dua lagi dakwaan di bawah Akta Syarikat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamed Salleh selaku pengarah syarikat NFCorp, didakwa melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang RM9,758,140 melalui empat keping cek untuk membiayai sebahagian pembelian dua unit kondominium ‘One Menerung’ di Parcel  BI-1 dan B1-2, Blok B di atas geran nombor 65152, lot no. 56454 di Mukim Kuala Lumpur.

Kesalahan itu dilakukan antara 1 dan 4 Disember 2009 di CIMB Islamic Bank Bhd, Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail.

Bagi pertuduhan kedua, di alamat dan bank sama, antara 6 Mei dan 16 November 2009, beliau didakwa melakukan kesalahan sama dengan memindahkan wang RM40 juta melalui satu cek ke dalam akaun syarikat National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd bagi kegunaan syarikat tersebut di mana beliau dan seorang daripada anaknya adalah pemilik syarikat berkenaan.

Kedua-dua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda.

Mohamad Salleh juga didakwa tanpa kebenaran mesyuarat agung menggunakan harta syarikat untuk membiayai sebahagian daripada pembelian dua unit kondominium tersebut, mengikut Seksyen 132(2)(a) Akta Syarikat 1965 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM30,000

Tiada ulasan: