Sabtu, 9 November 2013

Peguam Negara diminta jelaskan kenapa tiada rayuan kes Ling Liong Sik

Oleh Looi Sue- Chern

Dr Ling memberi kenyataan kepada media sejurus mahkamah membebaskan beliau daripada pertuduhan kes PKFZ, Oktober lalu. 

Dr Ling memberi kenyataan kepada media sejurus mahkamah membebaskan beliau daripada pertuduhan kes PKFZ, Oktober lalu.Jabatan Peguam Negara mesti menjelaskan mengapa ia tidak memfailkan rayuan terhadap pembebasan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik atas pertuduhan menipu Putrajaya berhubung urusan pembelian tanah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).


Pengerusi DAP Karpal Singh, seorang peguam veteran terkenal, berkata rayuan sepatutnya telah difailkan.

"Malangnya itu  adalah hak Peguam Negara. Tetapi AG perlu memberi penjelasan. Perkara itu tidak sepatunya dibiarkan begitu sahaja.

"Kes ini juga tidak berakhir dengan pembebasan. Mesti ada suatu siasatan mengenai kerugian besar yang ditanggung dalam PKFZ," katanya dalam satu sidang akhbar di Air Itam hari ini.

Dr Ling,70, didakwa menipu kerajaan persekutuan apabila tidak mendedahkan kepada kabinet kadar faedah tambahan sebanyak 7.5% setahun pada harga pembelian tanah untuk projek PKFZ, sedangkan ia telah ditetapkan pada RM1,088,456,000 oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta berasaskan RM25 sekaki persegi, termasuk kadar faedah.

Beliau juga berhadapan dengan dua pertuduhan berasingan iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada kabinet bahawa 7.5% setahun adalah kadar tambahan kepada harga tanah.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat 4 di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya di antara 25 September dan 6 November 2002 .

Dr Ling telah dibebaskan pada 25 Oktober oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan menipu  Putrajaya dalam kes perjanjian tanah PKFZ.

Tempoh akhir 14 hari bagi pihak pendakwa untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu tamat semalam.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi semasa membebaskan bekas Presiden MCA itu berkata, pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau berkata keterangan oleh pembelaan mendedahkan bahawa Dr Ling tidak menyembunyikan apa-apa daripada kabinet dan tidak tidak terlibat dalam menentukan harga tanah dan hanya berminat untuk mendapatkan tanah berkenaan dengan segera.

Ahmadi juga memutuskan bahawa Dr Ling tidak boleh dipertanggungjawabkan bagi apa-apa kesilapan, maklumat yang mengelirukan atau ketidaktepatan di dalam penyediaan dokumen pihak kementerian mengenai pengambilan tanah, ini meskipun Dr Ling menandatanganinya.

Sembilan saksi, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, memberi keterangan bagi Dr Ling.

Karpal juga berkata ia adalah aneh bahawa kenyataan Dr Mahathir itu tidak diambil semasa siasatan skandal tersebut.

"Kenyataan beliau hanya diambil semasa perbicaraan berlangsung dan keterangan beliau telah menyelamatkan Dr Ling.

"Peguam Negara juga perlu menjelaskan mengapa," katanya.

Sementara itu, mengenai dakwaan salah laku terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Karpal berkata perkara itu sangat serius.

"Dakwaan itu mesti disiasat dan mana-mana polis yang tahu apa-apa mengenainya perlu membuat laporan.

"Gani sendiri harus terbuka bagi sebarang siasatan ke atas beliau untuk membersihkan namanya," tambah beliau.

Awal minggu ini, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata Gani harus disiasat kerana salah laku yang didakwa dan bukanlah untuk memburukkannya.

Ini berikutan laporan bahawa bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim dan peguam terkemuka Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertemu dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada bulan Ogos untuk membincangkan dakwaan salah laku Gani.

Pada mesyuarat itu juga, di kediaman Dr Mahathir di Kajang adalah bekas setiausaha politik Matthias Chang dan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Ramli Yusoff.

Ramli dikatakan telah memberi taklimat kepada Dr Mahathir  berkenaan Gani. Mesyuarat itu juga menyentuh mengenai salah laku Gani seperti pemalsuan bukti dalam "mata lebam" iaitu kes terkenal yang melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Tiada ulasan: