Rabu, 6 November 2013

Isu Projek : SPRM Cadang Tubuh Jawatankuasa Pantau Agensi

alt

RAKYAT NEWS

 
KUALA LUMPUR  - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan kerajaan menubuhkan sebuah agensi penyelaras untuk memantau secara khusus agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam projek mega yang berimpak tinggi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, agensi penyelaras itu juga akan bertanggungjawab mengawal selia perkembangan dan perjalanan keseluruhan projek.

Ia adalah antara 12 cadangan penambahbaikan yang telah digariskan dalam Laporan Tahunan SPRM 2012 dan Laporan Tahunan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) 2012, berikutan kegagalan projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Laporan itu dikemukakan oleh Abu Kassim kepada pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang juga Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Kedua-dua laporan itu akan diteliti oleh JKMR yang dianggotai tujuh anggota Parlimen dan kemudiannya laporan penuh akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam waktu terdekat.

Bercakap kepada wartawan kemudiannya, Abu Kassim berkata laporan itu turut mencadangkan supaya memandatorikan setiap projek kerajaan yang melibatkan rundingan terus, pinjaman mudah, geran dan lain-lain kemudahan kewangan terutamanya yang melibatkan anggota pentadbiran, keluarga dan sekutu mereka, dibentangkan ke mesyuarat Kabinet.

Bagi meningkatkan ketelusan, katanya laporan itu mencadangkan supaya semua anggota pentadbiran mengisytiharkan kepentingan sekiranya anggota keluarga terdekat mereka mendapat kemudahan pinjaman daripada kerajaan.

"Kementerian Kewangan perlu menyediakan satu garis panduan standard, jelas serta telus berhubung pinjaman mudah bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif atau keraguan.

"Kementerian Kewangan juga perlu menyediakan kriteria yang jelas menentukan jumlah sesuatu pinjaman mudah serta memastikan permohonan dibentangkan di peringkat Kabinet terlebih dahulu untuk kelulusan dan mewujudkan satu standard dokumentasi apabila satu kelulusan dasar dibuat terutama melibatkan kepentingan negara serta rakyat," katanya.

Abu Kassim turut meminta kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah yang bertanggungjawab melantik, mengesah dan meluluskan kenaikan pangkat anggota SPRM.

Menurutnya Seksyen 23 Akta SPRM 2009 perlu dipinda kerana ia didapati boleh mewujudkan ruang dan peluang bagi penyalahgunaan kuasa khususnya berhubung isu pemberian kontrak, tender, tanah, perolehan atau sebagainya oleh seseorang anggota pentadbiran kepada anggota keluarga terdekat.

"Pihak pendakwaan SPRM telah pun mengenal pasti beberapa peruntukan di dalam akta ini yang perlu dipinda demi kejayaan pendakwaan kes rasuah di mahkamah. Sehubungan itu, LPPR berharap tindakan akan diambil dengan pihak relevan untuk menghasilkan matlamat ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abu Kassim juga menarik perhatian mengenai kejayaan SPRM sepanjang 2012 termasuk peningkatan kadar sabitan iaitu 85 peratus tahun lepas berbanding 75 peratus 2011, 71 peratus 2010 dan 54 peratus 2009.

"Ini telah mencapai standard antarabangsa kerana dapat melepasi 80 peratus. Ini terhasil sumbangan semua peringkat tugas iaitu perisikan, siasatan dan pendakwaan," katanya.

Beliau berkata keseluruhan denda dikenakan ke atas pesalah rasuah mencatatkan RM14,570,799.

Sepanjang tahun lepas, SPRM menerima 5,496 aduan berunsur rasuah dan 1,078 kertas siasatan telah dibuka, manakala 701 orang telah ditangkap dengan 75 peratus kertas siasatan berjaya disiapkan dalam tempoh itu.

"Kejayaan pendakwaan tahun lepas mencatatkan peningkatan dan keseluruhan pertuduhan 313 orang iaitu melibatkan 33.5 peratus penjawat awam, 53 peratus orang awam, 13 peratus sektor swasta dan 0.5 peratus ahli politik," katanya.

Tiada ulasan: