Selasa, 19 November 2013

Intipan CIA: BN cadang PAS ketuai demonstrasi

Harakahdaily,
 

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), Datuk Bung Mokhtar Radin mencadangkan PAS agar mengetuai demonstrasi bagi menyatakan bantahan terhadap kegiatan intipan Amerika Syarikat di negara ini.

Bercakap ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2014, Peringkat Jawatankuasa Kementerian Luar hari ini, secara spesifik beliau mencadangkan Abdul Khalid Samad (PAS-Shah Alam) mengetuai demonstrasi tersebut.

Beliau turut memberi jaminan bahawa BN juga akan turut bersama pada demonstrasi itu.

"Saya cadang Shah Alam (Khalid) ketuai demonstrasi jalanan, dan kita (BN) sokong, sebab dia ada kepakaran," katanya di Dewan Rakyat sambil tersenyum.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai) yang sebelum itu bertanya adakah cukup tindakan kerajaan Malaysia hanya dengan menghantar nota bantahan sahaja.

Menurut Hatta, intipan Amerika itu bukan sahaja suatu pencerobohan ke atas keselamatan negara malah dibimbangi digunakan sebagai cara untuk memeras ugut negara ini.

Dalam pada itu, Khalid Samad ketika bangkit mencelah berkata, beliau menyambut baik cadangan Bung itu dan melihatnya sebagai pengiktirafan kepada PAS.

"Saya nak tengok, bila saya pohon buat demonstrasi nanti, Kinabatangan (Bung) ada di tepi saya," katanya.

Baru-baru ini, Edward Snowden mendedahkan kegiatan pengintipan global yang dibuat Amerika dan Australia ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

Pakatan Rakyat sebelum ini mengecam keras tindakan intipan itu, dan mempersoal sikap tidak tegas Perdana Menteri dalam soal ini.

Pendirian tegas

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menyelar sikap lembut Malaysia terhadap tindakan Amerika itu.

Katanya, Malaysia wajar mencontohi Indonesia yang memanggil pulang Duta Besar mereka di Australia sebagai bantahan terhadap tindakan biadap Amerika itu.

"Malu, presiden wanita (Ibu Ani Yudhoyono) punyai pendirian tegas daripada Perdana Menteri Malaysia.

"Belum ada negara selembik ini terhadap Amerika," tegasnya.

Tiada ulasan: