Rabu, 20 November 2013

Hudud: Usul muktamar yang disalah lapor




Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN


Merujuk kepada laporan-laporan mengenai usul “Negeri pentabiran PR akan didesak laksana hudud” – PAS ingin menjelaskan bahawa terdapat kesilapan kepada laporan-laporan tersebut

Usul yang diterima dengan pindaan untuk perbahasan ialah untuk mendesak Kerajaan Malaysia agar melaksanakan undang-undang Syariah dan membantu mana-mana negeri yang inginkan perkara yang sama untuk melaksanakannya.

Ia bukanlah usul yang fokus pada negeri-negeri Pakatan Rakyat semata-mata. Umum mengetahui, halangan kepada terlaksananya undang-undang Islam ada di tangan kerajaan pusat yang diterajui Umno.

Oleh itu, tidak munasabah untuk PAS mendesak negeri-negeri Pakatan Rakyat sahaja untuk melaksanakan undang-undang Syariah tatkala Kelantan masih menghadapi pelbagai cabaran perundangan yang menjadi penghalang selama ini.

Hasrat untuk melaksanakan undang-undang Syariah bukan sahaja daripada kerajaan Kelantan yang diterajui PAS. Kita mesti memahami kewajipan melaksanakannya adalah kewajipan bagi umat Islam dan pemimpin negara.

Kerana itu, ada usul daripada beberapa PAS kawasan yang mencadangkan agar pihak kerajaan pusat tidak menghalang mana-mana negeri yang ingin melaksanakan sistem perundangan Islam untuk menangani masalah rasuah, riba, salahguna kuasa, jenayah dan ketidakadilan ekonomi, samada negeri di bawah Pakatan Rakyat atau di bawah Barisan Nasional, untuk dibahaskan di Muktamar ke 59 ini.
 
Adun Umno dari DUN Kemelah, Datuk Ayub Rahmat pernah menyatakan hasratnya untuk melihat undang-undang Syariah dilaksanakan di negeri Johor.

Seperti kata Ahli Parlimen Ketereh dari Umno, Tan Sri Annuar Musa umat Islam wajib berusaha untuk memastikan hukum Syariah ini berjaya direalisasikan.

Namun begitu, PAS menggalakkan bahawa negeri-negeri yang ingin melaksanakan undang-undang Syariah untuk mempersiapkan diri dari sudut infrastruktur dan sebagainya sesuai dengan bidang kuasa kerajaan negeri.

Tiada ulasan: