Selasa, 19 November 2013

Pakej umrah, bilik hotel untuk raih undi perwakilan Umno, dakwa pengadu

OLEH V ANBALAGAN DAN DIYANA IBRAHIM





Selepas lebih sebulan pemilihan Umno berakhir kini timbul pula dakwaan berlakunya unsur politik wang dalam parti apabila perwakilan didakwa telah disogokkan dengan penajaan pakej umrah selain penginapan di hotel mewah bagi meraih undi oleh Umno Bahagian Lembah Pantai.

Lebih dari itu seorang bekas ketua cawangan Umno di Lembah Pantai, Asat Ahmad turut mendakwa terdapat pengedaran senarai "chai" atau barisan calon pilihan.

Asat membuat laporan mengenai salah laku dalam pemilihan itu pada 31 Oktober lalu.

Menurut Asat, pihaknya menghantar laporan aduan mengenai unsur penyelewangan oleh Umno Lembah Pantai kepada Jawatankuasa Pemilihan iaitu pengerusinya, Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Ghazali dan Lembaga Disiplin, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.

Asat berkata salinan surat aduan tersebut juga telah diserahkan kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kesal dengan situasi tersebut, Asat menegaskan Umno perlu bertindak untuk tidak menyembunyikan atau terus membiarkan mana-mana pemimpin yang merosakkan parti dengan amalan politik wang.

Asat berkata pemimpin Umno harus berhenti daripada merosakkan parti melalui politik wang dan berharap pucuk pimpinan akan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk menangani  masalah yang telah mencapai peringkat barah.

"Keputusan akhir dua pilihan raya umum jelas menunjukkan bahawa rakyat menolak Umno dan parti akan musnah jika keadaan tidak diperbetulkan,"katanya dalam surat yang dihantar kepada The Malaysian Insider.

Barisan Nasional (BN) kehilangan kerusi Parlimen Lembah Pantai kepada Nurul Izzah Anwar pada tahun 2008 dan gagal untuk menawannya semula dalam pilihan raya umum 5 Mei baru-baru ini.

Seorang lagi perwakilan, Mohyiddin Mohamad, bekas ahli jawatan kuasa Umno Bahagian Lembah Pantai, pula berkata, pada 19 Oktober,  ketika dia berada di Hotel Pullman di Jalan Pantai Baru untuk menghadiri mesyuarat bahagian sebagai perwakilan, dia  didatangi sesaorang dengan memberikannya 'chai' atau senarai pilihan itu.

Asat mendakwa beliau juga dimaklumkan oleh kakitangan hotel terdapat 50 bilik yang telah ditempah untuk menampung delegasi yang menghadiri mesyuarat.

"Sebagai bekas ahli jawatankuasa bahagian, saya tidak tahu dan terkejut bahawa bilik telah ditempah," katanya  sambil menambah bahawa beliau percaya bahawa amalan ini didalangi oleh pemimpin-pemimpin kanan bahagian.

Asat berkata, perbuatan mengedarkan senarai pilihan demikian membantutkan sistem demokrasi yang menghalang perwakilan untuk memilih calon dengan mereka kerelaan sendiri.

Pada pemilihan bahagian baru-baru ini, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar), yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, dipilih sebagai ketua selepas mengalahkan Mohd Ikhsan Samsudin dengan majoriti 200 undi.

Asat juga mendakwa bahawa salah satu calon untuk jawatan kanan bahagian telah menaja 25 ketua-ketua cawangan dari bahagian untuk melaksanakan umrah pada bulan Julai.

"Saya adalah salah seorang daripadanya dan segala perbelanjaan ditanggung oleh ketua bahagian," katanya sambil menambah beliau mempunyai bukti dokumen untuk menyokong dakwaannya terhadap Raja Nong Chik.

Raja Nong Chik, bagaimanapun  menolak dakwaan Asat itu sebagai tidak berasas.

"Tiada apa-apa perkara yang berlaku. Semua ini adalah dakwaan kosong kerana mereka yang bertanding dan kalah tidak dapat menerima kenyataan keputusan, " kata bekas Menteri itu -

Tiada ulasan: