Salahuddin Ayub  
 
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub


SHAH ALAM – Kelantan memerlukan kerjasama dan persetujuan kerajaan Pusat dalam usaha meneruskan pelaksanaan hukum hudud di negeri itu.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, inisiatif pemimpin Pas untuk melaksanakan hukum hudud sentiasa berterusan, dan isu yang lebih utama ialah komitmen kerajaan Pusat.

Menurutnya, pihaknya memerlukan jaminan dari kerajaan Pusat jika benar ahli Parlimen BN ikhlas mahu bersama-sama melaksanakannya.

“Tiada masalah (bawa usul ke Parlimen) sebab pemimpin Pas tidak putus asa dan berhenti memperjuangkannya.

“Walaupun Akta Mahkamah Syariah dipinda, tetapi apa yang lebih penting ialah kerjasama daripada pihak penguatkuasaan. Maknanya Kelantan tidak boleh buat bersendirian,” katanya.

Salahuddin berkata, kuasa negeri itu sangat terhad untuk melaksanakan hukum hudud memandangkan ia membabitkan banyak pihak.

Beliau menegaskan, sekiranya ingin membantu, ahli Parlimen BN kena menunjukkan kesungguhan, komitmen dan kesediaan membawa usul tersebut ke parlimen.

“Bagaimana dengan Jabatan Penjara, Polis Diraja Malaysia (PDRM)? Bagaimanapun pula dengan  penguatkuasaan dalam undang-undang tersebut?

“Itu semua memerlukan kerjasama dan persetujuan  jelas daripada kerajaan Pusat. Perlu ada satu jaminan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sebelum ini Kelantan ada menerima surat amaran dari Pejabat Perdana Menteri untuk tidak meneruskan pelaksanaan tersebut, setelah Dun Kelantan meluluskan perlaksanaan hukum Hudud pada 1993.

“Saya ingin ingatkan balik, satu ketika dulu Pas belum ke peringkat pelaksanaan,  namun bila sahaja kanun yang diluluskan Dun itu diwartakan. Sampai satu surat dari Pejabat Perdana Menteri ketika itu memberikan amaran keras.

“Surat itu masih disimpan hingga hari ini, Kelantan diberi amaran keras, sekiranya bertindak meneruskan pelaksanaannya. Mereka akan dikenakan tindakan,” katanya.