Ahad, 3 November 2013

BN dijangka tabur duit sehingga lewat malam

Saidah Hairan,


JERAI: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff mengingatkan semua pimpinan, jentera dan petugas pilihan raya kecil Dun Sungai Limau supaya membuat laporan polis terhadap petugas BN yang dijangka akan mengagihkan duit kepada pengundi di saat akhir kempen sehingga jam 12 malam ini.

Menurut beliau, petugas-petugas BN didakwa sedang bergerak dari rumah ke rumah pengundi PAS untuk mengagihkan duit dan meminta supaya pengundi PAS jangan keluar mengundi.

Katanya, tindakan jentera BN yang mengagihkan duit dari rumah ke rumah pengundi PAS membuktikan BN sebenarnya berada dalam keadaan amat tertekan.

"Saya minta semua petugas PAS memantau pergerakan petugas-petugas BN dan kawal simpang-simpang di setiap kampung, jangan biarkan mereka masuk ke rumah pengundi PAS," tegasnya.

Tambah beliau, petugas PAS mesti atur strategi untuk memastikan pengundi tidak terpengaruh dengan dakyah BN untuk menyekat mereka keluar daripada mengundi esok.

"Jika petugas PAS terserempak atau terjumpa dengan kumpulan petugas BN yang sedang mempengaruhi pengundi-pengundi, ambil gambar dan buat laporan polis," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menegaskan tindakan BN itu membukitkan mereka masih mengamalkan taktik kotor yang tidak bermaruah dan menyalahi prinsip demokrasi berparlimen.

Kepada pengundi Dun Sungai Limau katanya, undi merupakan satu amanah yang akan menentukan siapa yang akan mewakili suara rakyat di dewan undangan negeri Kedah untuk Dun Sungai Limau.

Sehubungan itu beliau berharap pengundi mesti memilih pemimpin yang terbaik akhlak dan boleh dicontohi pegangan agamanya serta mantap budi pekerti dan boleh mencorakkan masa depan anak-anak muda Sungai Limau.

"Saya berharap semua pengundi Dun Sungai Limau memilih ustaz Mohd Azam Che Ahmad kerana beliau merupakan calon terbaik untuk mewakili penduduk Sungai Limau," katanya.

Pengundi Dun Sungai Limau tegas beliau jangan terpengaruh dengan tawaran dan habuan wang ringgit serta janji-janji palsu yang ditaburkan oleh pimpinan BN kerana ia hanya sandiwara semata-mata.

Beliau yakin dalam keadaan sekarang BN terlalu tertekan kerana perlawanan terlalu sengit sebab itu mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun melanggar undang-undang dan peraturan negara.

Tiada ulasan: