Ahad, 3 November 2013

SYAITAN di muka pintu Sg Limau: Ujian genting bagi Dr M melebihi Mukhriz

Oleh Wong Choon Mei, Malaysia Chronicle



KUALA LUMPUR - Mukhriz mungkin bukan anak emas bekas perdana menteri, kerana menurut mereka yang rapat dengan keluarga itu, Marinalah anak kesayangan Mahathir. Namun, persaingan antara Mukhriz dan Khairy Jamaluddin mungkin akan menyemarakkan semula perang dingin antara Mahathir dan Badawi.

Perkelahian antara Mahathir dan pengganti pilihannya Abdullah Badawi bermula pada pertengahan era 2000 selepas khairy memaksa mertuanya itu untuk menggugurkan projek mega kemegahan Mahathir di Johor- jambatan berbentuk S atau jambatan bengkok ke Singapura.

Sejurus selepas pilihan raya ke 13, Mahathir menyalahkan Najib kerana tiada daya penarik di atas prestasi Umno-BN yang buruk. Namun, dia tidaklah begitu lancang terhadap Najib sepertimana yang dilakukannya terhadap Badawi dahulu.

Kenapa? Kerana Mahathir masih memerlukan Najib untuk menaikkan Mukhriz supaya berada di kalangan orang tertinggi dalam Umno. Dia mahu Mukhriz dijadikan salah seorang daripada naib timbalan presiden.

Sebaliknya, Najib menipu Mahathir dan mengelakkan dari menunjukkan bahawa dia memberi sokongan terhadap Mukhriz, yang akhirnya tewas walaupun bertarung hingga ke saat-saat akhir.

Membeli masa untuk Mukhriz

Mahathir yang bersifat kejam ala Machiavelli sebenarnya agak bijak.
Dia boleh mengenalpasti perbezaan antara Najib dan Badawi yang pernah menang besar bagi pihak Umno-BN semasa PRU tahun 2004. Ia merupaka kejayaan dimana Mahathir sendiri tidak pernah miliki sekalipun dalam tempoh 22 tahun pemerintahannya.

Najib yang bergelumang dengan rasuah dan skandal pembunuhan termasuk perbuatan simbolik membasuh keris dalam darah Cina hanya mampu bertahan nyawa-nyawa ikan dan inilah yang telah berlaku. Jika Mahathir menempelak Umno sepertimana dilakukannya terhadap Badawi, parti itu akan hancur dan ini akan membuka peluang kepada pihak pembangkang untuk memerintah. Ini mungkin perkara yang paling ditakuti Mahathir kerana dia akan menjadi orang yang paling tergugat memandangkan dua anaknya, Mirzan dan Mokhzani adalah antara orang yang terkaya di Malaysia.

Walaupun Khairy pernah dikenali sebagai penganggur terkaya di negara ini, dia bukanlah naïf dalam usaha mengaut kekayaan negara, begitu juga Najib dan anak-anaknya. Namun begitu, Mahathir dan bekas menteri kewangannya Daim Zainuddin masih menduduki tangga teratas dalam kerakusan mengaut kekayaan negara kerana mereka menjadi otai yang pernah lama memegang kuasa.

Mahathir tahu dia masih terpaksa memimpin tangan Najib. Dia perlu membantu Najib dan jika tidak, Umno-BN akan musnah. Tetapi PRU sudah pun tamat sekarang.

Begitu juga dengan pemilihan Umno dan Mukhriz telah gagal untuk mendapatkan kerusi naib timbalan presiden kerana Najib tidak memberi sokongan kepadanya malah memberi peluang kepada calon lain seperti sepupunya Hishamuddin Hussien untuk menyeru agar penyandang jawatan dikekalkan dalam jawatan untuk satu tempoh lagi.

Ini samalah seperti Najib meminta ahli-ahli Umno untuk mengundi kumpulan yang sedia ada dan menolak Mukhriz.

Najib sekarang boleh berhadapan dengan Mahathir tanpa rasa takut

Apabila Mahathir memutuskan untuk memasukkan Mukhriz dalam pertandingan itu, dia bertungkus-lumus untuk menjadikan impiannya sebuah kenyataan.

Mengetahui bahawa amat sukar bagi Mukhriz untuk memecah kubu Najib yang diduduki oleh Zahid Hamidi, Shafie Apdal dan Hishammuddin Hussien—Mahathir memberi kenyataan bahawa anaknya hanya ada peluang sebanyak 50% sahaja untuk menang.

Mahathir telah menyalahkan politik wang dalam Umno. Ada yang menyatakan bahawa Mahathir hanya mahu menyelamatkan air mukanya selepas kegagalan itu yang juga membuktikan bahawa pengaruhnya semakin berkurangan sejak beberapa tahun ini.

Dengan Khairy Jamaluddin mengetuai sayap pemuda sekali lagi dan Shahrizat yang peuh dengan palitan korupsi juga dipilih semula sebagai ketua Wanita, Najib telah berjaya mengekalkan kuasanya dalam Umno.

Najib yang berusia 60 tahun itu sekarang boleh berhadapan dengan Mahathir, jika dia mahu. Tetapi, Najib lebih berminat dengan keutamaannya seperti melancong ke luar negara dan mendapatkan kontrak berbillion ringgit untuk keluarga dan rakan-rakan rapatnya.

Pintu tertutup buat Mukhriz

Jika diperhatikan, mudah untuk kita mengesan bahawa Najib lah yang menipu Mahathir. Dan Mahathir jelas menyedarinya, dia terpaksa akur.
Mahathir juga tidak dapat berbuat apa-apa kerana pengguhan PRU ke-13 akhirnya dilakukan pada 5 Mei 2013, di saat-saat akhir tamatnya tempoh mandat Umno-BN. Dia tidak ada jalan lain kecuali untuk bekerjasama dengan Najib untuk memastikan kemenangan Umno-BN.

Tetapi, dengan menyimpan perbalahan dalaman sehingga selepas PRU ke-13, Mahathir kehilangan peluang untuk merancang dengan lebih teliti misi untuk menjatuhkan Najib. Dalam pemilihan Umno, penyokongnya tidak mampu lagi untuk mematahkan kemaraan Najib di garisan penamat.

Mereka yang rapat dengan Mahathir menyatakan bukan dengan membalas dendam tetapi hanya masa akan menentukan bila dendam akan terbalas di atas maruah yang tercalar akibat kegagalan Mukhriz.
Siapa yang akan memberi peluang itu kepada Mukhriz? Najib? Hisham? Zahid? Adakah lelaki-lelaki ini akan bermurah hati atau adakah mereka sendiri sedang merancang jalan untuk ke kerusi PM?

Dan Mukhriz mewakili kesemua keluarga Mahathir dan kroni-kroninya. Mereka mahukan waris Mahathir untuk duduk di kerusi PM dengan segera. Jadi tidak hairanlah Mahathir mula menyalahkan orang lain.

Tsunami Cina dan politik wang

Mungkin ianya suatu rahmat bahawa orang Cina tidak dibenarkan untuk menyertai Umno kerana besar kemungkinan mereka akan disalahkan di atas kegagalan Mukhriz. Dan jika bukan oleh kem Mahathir, kem Najib.

 Ia sesuatu yang agak lucu kerana ia menunjukkan ketandusan visi politik Umno yang dahulunya gagah perkasa.

Namun demikian, Mahathir telah pun memilih untuk menggunakan alasan seterusnya, politik wang! Itulah sebabnya Mukhriz telah gagal, kata lelaki yang pernah memegang tampuk kepimpinan selama 22 tahun ini. Jika benar, dia perlu juga dipersalahkan kerana tidak pernah melakukan apa-apa untuk menghapuskan budaya politik wang yang berakar umbi dalam partinya.

Walaupun tuduhan politik wang adalah khusus buat mereka yang lebih senior, Mahathir telah menanam bibit-bibit keraguan dikalangan ahli-ahli Umno jika anaknya boleh mengalahkan Hishamuddin jika bukan kerana perbuatan kem Najib yang menipu.

Ada yang menyatakan episod kegagalan Mukhriz untuk mendapatkan sokongan yang mencukupi mengingatkan Mahathir kepada masa dia ditendang keluar dari Umno oleh perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman. Mahathir tidak berputus asa pada masa itu, jadi dia tidak akan berputus asa sekarang.

Mahathir menggelar Najib sebagai pemimpin yang lemah walaupun sebelum PRU pada bulan 5 dan pemilihan Umno pada 19 Oktober. Strategi menjatuhkan kredibiliti Najib akan menjadi lebih hebat.

Pengikut dan penyokong Mahathir sedang melakukannya di laman-laman blog dan media dengan tujuan menghancurkan imej Najib.

Sebenarnya, mereka tidaklah salah. Najib tidak member apa-apa sumbangan kepada Malaysia. Dia telah menampakkan dirinya sebagai seorang yang tidak berprinsip dan mampu menikam orang-orang Cina, India dan kaum minoriti dari belakang dengan kejam seperti juga Mahathir. Tidak ada sebab kenapa orang bukan Melayu perlu menyokong Najib.

Jika Najib berani, dia akan bersemuka dengan Mahathir. Dia boleh sahaja menahan Mahathir dan kumpulan ekstrimis Melayu, Perkasa dan memenjarakan mereka kerana perbuatan menghasut.

Tetapi Najib yang penakut hanya berani untuk menjadi jaguh Melayu melebihi Mahathir kerana perbuatan membuli orang bukan Melayu adalah lebih senang daripada terpaksa memberitahu orang Melayu bahawa mereka telah berada di jalan yang salah untuk 5 dekad yang lalu.

Melayu tidak perlukan Mahathir lagi

Sejurus selepas PRU ke 13 Najib telah menyalahkan orang Cina di atas kegagalannya sendiri. Tanggungjawab menjadi jaguh ketuanan Melayu telah diserahkan kepada panglima kepercayaannya Zahid Hamidi.

Dengan langkah ini, kem Najib telah pun berjaya menghalang Mahathir secara efektif.

Melayu sudah tidak perlukan Mahathir lagi untuk menjadi jaguh mereka. Mereka boleh sahaja menakutkan Najib untuk memberikan mereka kelebihan melebihi Mahathir. Dan untuk membuli kaum bukan Melayu, Zahid Hamidi, menteri dalam negeri yang jauh lebih menakutkan dari Mahathir boleh digunakan bagi tujuan itu.

Oleh itu, sejak kebelakangan ini, Mahathir sering dilihat berada dalam keadaan berfikir dan mengimbas kembali zaman kegemilangannya. Namun begitu, jangan fikir dia sudah mengalah. Mahathir merupakan seorang yang berpersonaliti unik, jika tidak, masakan dia digelar sebagai syaitan oleh ramai di negara ini.

Bagi Mukhriz, ianya berbeza. Dia terpaksa berhadapan dengan rakyat dan membuat keputusan setiap hari. Dia tidak boleh marah tetapi hanya mampu mengambil iktibar daripada zaman dimana ayahnya begitu bijak berkuasa.

Ramai diantara rakan Mukhriz memberitahu bahawa dia sebenarnya tidak mahu tanggungjawab itu. Dia sendiri sememangnya sudah kaya raya seperti anak Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud, Sulaiman Taib, dia mungkin akan mempersoalkan kenapa dia perlu berada di ‘kampong’ seperti Kuala Lumpur, apabila tempat-tempat gah seperti Monte Carlo, New York dan Paris menunggunya?

Najib mungkin tidak akan mentransformasikan Negara yang pasti dia akan menjadi kaya raya

Terdapat retakan dalam perhubungan si bapa dan anak dan si bapa dengan pemimpin Umno sekarang.

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali juga menyuarakan ketidakpuasan hati seperti Mahathir terhadap Umno apabila berkata kepada sebuah akhbar harian bahawa dia masih berkecil hati dia atas pengkhianatan Umno. Serangan demi serangan ini akan terus menjadikan Najib dalam keadaan berjaga-jaga.

Najib akan mendapati dirinya tidak mampu untuk mentransformasikan Malaysia mahupun membawa kemajuan yang diimpikan oleh Negara. Namun begitu, itu sememangnya bukanlah tujuan utamanya. Najib malangnya bukanlah seorang pemimpin yang jujur. Dia nampaknya lebih mengejar glamor dan kemewahan.

Oleh itu, Najib nampaknya lebih menerima kelantangan Mahathir bagi membantu dirinya serta rakan-rakan menyembunyikan objektif sebenar mereka yang mahu mengaut lebih banyak keuntungan dari kekayaan negara.

Sungai Limau perangkap untuk menjatuhkan Mukhriz

Dalam pilihanraya kecil Sg Limau, dimana ia dikatakan adalah ujian getir bagi Mukhriz, tidak seorang pun diantara timbalan naib presiden nampaknya giat berkempen untuknya.

Malah, timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin telah dengan sengaja memberi komen yang mengaitkan kencing manis dengan Allahyarham Azizan Abdul Razak, bekas pemimpin PAS di situ yang mungkin akan meninggalkan kesan terhadap pilihanraya kecil itu nanti. Ramai yang ragu jika kenyataan itu tidak disengajakan dan berniat untuk mensabotaj Mukhriz.

Jika Mukhriz menang di Sg Limau, ia akan menaikkan namanya, dan menjadikannya hero dalam Umno. Dia akan dianggap sebagai wira baru Melayu dalam Umno. Jelas ini tidak dimahukan oleh kem Najib. Bagi sesetengah pihak, agak aneh apabila Najib mengumumkan GST dan pemansuhan subsidi gula sebelum pilihanraya kecil Sg Limau 4 Nov ini. Mereka begitu hairan kenapa SPR tidak mengumumkan tarikh piliharaya yang lebih awal.

Sebenarnya Mukhriz tidak patut risau jika dia kalah dalam pilihanraya kecil Sg. Limau. Dia sepatutnya tahu siapakah kawan dan siapa pula lawan. Untuk mempertahankan diri, dia sepatutnya memikirkan ini dengan lebih kerap untuk mengelakkan disabotaj pada masa hadapan, daripada memainkan peranan sebagai anak emas dimana ia bukan lagi suatu kenyataan apabila ayahnya bakal dipaksa bersara terus dari dunia politik.

Mahathir- bakal disingkirkan selama-lamanya

Apabila fokus adalah kepada Mahathir dan apa yang mampu dilakukannya terhadap kem Najib, hakikatnya, kem Najib mungkin lebih merbahaya. Mereka mempunyai kelebihan dari segi kelengkapan jentera.

Kerana jentera kerajaan menyebelahi mereka, ia menjadikan lebih mudah bagi Najib untuk menyerang Mahathir daripada sebaliknya.

Badawi merupaka perdana menteri pertama selepas era 22 tahun pemerintahan Mahathir, tetapi dia gagal menjatuhkan bekas bosnya ini.
Namun, 10 tahun telah berlalu semenjak Mahathir bersara, dan musuh Mahathir sudah pandai membaca strateginya serta menganalisa percaturannya. Mereka tahu bagaimana cara untuk melemahkannya.

Masa depan politik bagi Mahathir nampaknya sudah malap. Begitu juga bagi Mukhriz.
Nampaknya Sg. Limau akan berada dalam genggaman PAS.

(*) Terjemahan oleh Huzainah A Rani


Tiada ulasan: