Rabu, 20 November 2013

Bajet 2014 Selangor: Imbangan yang baik tapi bahaya

Oleh Sheridan Mahavera

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berucap di sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 20 November, 2013.Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berucap di sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli,
























Bagi menjelaskan betapa rumitnya cabaran untuk merancang belanjawan bagi negeri paling kaya dan padat di Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Klang, Saari Sungib menceritakan tentang banjir lumpur di sebuah taman perumahan banglo mewah di lereng bukit berdekatan Kemensah.

“Orang selalu menganggap banjir hanya berlaku di dalam lembah, tapi di Selangor boleh jadi atas bukit,” katanya ketika mengimbau peristiwa enam tahun lalu di kawasannya.

“Banglo itu musnah dihempap banjir lumpur. Ini kerana apabila hujan, sistem perparitan di taman itu tidak dapat menampung air hujan yang melimpah,” katanya.

Beliau berkata, parit juga tersumbat dengan tanah, lalu air yang melimpah keluar meresap ke dalam cerun bukit dan melemahkan struktur tanah mengakibatkan terjadi banjir lumpur yang turun menghempap rumah banglo di situ.  

Peristiwa itu menunjukkan bagaimana projek baru, sama ada ia perumahan atau kedai komersial, tidak boleh dirancang dan diluluskan secara berasingan atau “piece meal” oleh agensi kerajaan yang tidak merujuk antara satu sama lain.

Kelulusan diberikan oleh pihak berkuasa tempatan tetapi pembinaan sistem perparitan untuk projek tersebut akan datang daripada Jabatan Parit dan Saliran (JPS).

Saari berkata, berikutan kedua-dua agensi itu perlu bekerjasama dengan rapat untuk mengeluarkan rancangan komprehensif, maka dana yang diperuntukkan kepada mereka patut setimpal dengan tanggungjawab tersebut.

katanya, kerajaan negeri Selangor boleh memberikan RM 100 juta untuk projek penembatan banjir, seperti dalam belanjawan 2013, tetapi persoalan yang juga penting adalah siapa yang mendapat dana tersebut dan bagaimana ia dibelanjakan.

Bagi sebuah negeri yang pesat dibandarkan (urbanised state), pengawalan bagi memastikan dana dibelanjakan dengan efektif dan berkesan adalah isu penting setiap kali Selangor membentangkan belanjawannya. 

Seperti contoh banjir lumpur di atas, tidak cukup untuk sekadar meluluskan projek. Kerajaan Negeri perlu memastikan setiap projek tidak memudaratkan bangunan di sekitarnya dan setiap sen yang dibelanjakan untuk infrastruktur sokongan harus dibelanjakan dengan baik.

Pengawalan berhemah

Disiplin kewangan atau “fiscal discipline” adalah satu prinsip yang disanjung tinggi oleh pentadbiran Pakatan Rakyat di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar).

Pegangan tersebut membolehkan Pakatan mengumpul dana simpanan sebanyak RM2.7 bilion dalam masa enam tahun, daripada RM400 juta yang diwarisi daripada pemerintahan Barisan Nasional pada 2008.

Pelaksanaan prinsip itu juga adalah penyebab setiap tahun Selangor mendapat markah tinggi menerusi penilaian Ketua Audit Negara.

Tetapi, selepas bertahun-tahun mengumpul rizab yang begitu besar, Adun Pakatan Selangor sendiri melalui Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menuntut kerajaan negeri Selangor membelanjakan sebahagian daripada simpanan untuk pembangunan.

Tuntutan tersebut dibuat dalam beberapa mesyuarat bersama Abdul Khalid semasa kerajaan negeri  sedang mengumpul maklum balas bagi merancang belanjawan.

Apabila Abdul Khalid memaklumkan bahawa Selangor akan memperuntukkan RM430 juta daripada wang rizab tersebut untuk beberapa inisiatif seperti jambatan ketiga Klang dan pembinaan rumah mampu milik, usaha tersebut mendapat sokongan Adun Pakatan.

Ini kerana, apabila RM430 juta itu ditambah dengan peruntukan di dalam belanjawan 2014 untuk pembangunan, jumlah keseluruhan untuk pembangunan negeri adalah terbesar berbanding tahun-tahun yang lalu.

Daripada segi peratusan, Selangor akan membelanjakan 53.7% daripada jumlah belanjawan dan duit rizab RM430 itu untuk kos operasi, manakala 46.3% akan dibelanjakan untuk projek dan program pembangunan.

Berbeza dengan kerajaan persekutuan Barisan Nasional yang membelanjakan 83% duit dalam belanjawan persekutuan 2014 untuk kos operasi dan hanya 17% untuk pembangunan.

Tetapi, walaupun Selangor memperuntukkan jumlah yang besar untuk pembangunan, Adun Pakatan berkata, apa yang penting adalah duit tersebut dibelanja dengan berhemah.

Menyimpan untuk berbelanja lebih

Adun Bukit Antarabangsa,Azmin Ali merujuk kepada prinsip ini apabila beliau mengeluarkan kenyataan berhubung pengurangan peruntukan bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.

Keputusan itu dibuat setelah JPS Selangor didapati hanya membelanjakan 61% dana yang diperuntukkan kepadanya bagi tahun ini setakat September.

“Tetapi kerajaan negeri tidak patut potong dana JPS,” katanya kerana JPS bertanggungjawab terhadap sistem perparitan dan kawalan banjir di Selangor.

“Sekiranya negeri potong peruntukan ia seperti menghukum rakyat. Kita sepatutnya mengawal dengan lebih teliti bagaimana dana tersebut dibelanjakan supaya wang itu dibelanja dengan baik,” katanya.

Malah projek yang mahu menggunakan rizab RM430 juta itu perlu disertakan dengan pelan pembangunan yang akan dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor terlebih dahulu sebelum duit itu dapat digunakan.

“Rizab kita akan dibelanjakan dengan telus dan berhemah. Bukan macam dulu semasa BN apabila duit banyak masuk tetapi tiada siapa tahu ke mana ia dibelanjakan,” kata Azmin, yang juga pengerusi BBC Selangor.

Saari berkata, secara idealnya, pengawalan perbelanjaan yang efektif akan mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan operasi dan duit yang dijimatkan daripada pengurangan ketirisan itu akan dimasukkan ke dalam rizab simpanan.

Lebih banyak dana rizab simpanan, lebih banyak dana yang boleh diperuntukkan untuk projek seperti rumah mampu milik, pembangunan usahawan dan penembatan banjir.

Ia juga boleh digunakan untuk merancang pelan induk trafik untuk seluruh Selangor, seperti yang dicadangkan oleh Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran.

Ini kerana semakin banyak kawasan penempatan di Selangor mengalami perbandaran yang pesat atau urbanisation.

“Sekarang semuanya dirancang berasingan. Misalnya, jalan raya tidak diselaraskan dengan laluan bas dan rel.

“Kita juga tidak merancang pembangunan pengangkutan awam selari dengan peningkatan penduduk. Sekiranya kita terus dengan sikap ini semua jalan kita akan sesak selamanya,” katanya.

Selangor tidak seperti negeri lain yang mempunyai kawasan yang lapang untuk pembinaan menyebabkan setiap pembinaan dilakukan di kawasan yang sudah padat atau “akan padat”.

Kegagalan untuk mencapai keseimbangan antara operasi dan pembangunan seperti kegagalan untuk merancang sebuah belanjawan yang seimbang, akan memberi impak yang besar kepada negeri.

Keseimbangan boleh menjadikan Selangor sebuah negeri yang walaupun padat, ia selesa untuk bermastautin dan membesarkan keluarga.

Manakala kegagalan untuk mencapai keseimbangan itu boleh menjadikan negeri sebuah hutan konkrit yang sesak dan selalu banjir.

Tiada ulasan: