Rabu, 20 November 2013

Anwar Ibrahim puji Belanjawan Selangor 2014


Oleh : Mohd Ezli Mashut


SHAH ALAM  : Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Belanjawan Selangor 2014 yang dibentang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkannya sebagai belanjawan berhemah dan prihatin.

Anwar Ibrahim Konvensyen Days Saing Komoditi 01

Beliau menyatakan demikian melalui akaun Twitternya sebagai mengulas tweet pengikutnya mengenai Belanjawan Selangor 2014 yang dibentang pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Sebelum ini, sesetengah media tempatan membuat tafsiran terhadap kenyataan Anwar pada satu forum kononnya Ketua Umum PKR itu menegur cara Abdul Khalid mengurus  kewangan.

Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat buat penggal kedua, memperuntuk RM1.85 bilion iaitu perbelanjaan terbesar dalam sejarah Selangor membabitkan Belanjawan Berimbang 2014 bertemakan ‘Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat’.

Belanjawan itu berpaksikan kepada lima teras utama iaitu memperkasa pengurusan fiskal yang pragmatik; berhemat dan berdaya maju; memperkukuh keberkesanan serta kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan swasta.

Ia turut memperteguh dasar pro-pertumbuhan pesat; mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan mutu kehidupan bertaraf dunia selain memastikan pembangunan mampan dan inklusif.

khalid-dun-51

Abdul Khalid juga mengumumkan rancangan penggunaan rizab negeri berjumlah RM430 juta bagi membiayai pembangunan enam inisiatif.

Ia meliputi RM150 juta bagi pembinaan Jambatan Ketiga Klang, RM100 juta (rumah mampu milik), RM50 juta (bangunan sekolah), RM50 juta (usahawan dan pemerkasaan belia), RM50 juta (pembangunan desa) dan RM30 juta (pemberdayaan wanita).

Kerajaan negeri turut membelanjakan RM1.055 bilion bagi pembangunan atau 46.3 peratus daripada jumlah keseluruhan  untuk 2014 dan RM1.225 bilion atau 53.7 peratus lagi untuk perbelanjaan mengurus menjadikan jumlah perbelanjaan keseluruhan RM2.28 bilion.NFN FZL

Tiada ulasan: