Khamis, 14 November 2013

ADUN Selangor tiada keluar memorandum baru kecam Khalid - Azmin

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Muhammad Azhar

 
Post Pic



SHAH ALAM: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor tiada mengeluarkan memorandum baru menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, kata Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Mohd Azmin Ali.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR, PAS dan DAP tidak ada menandatangani mana-mana memorandum atau kenyataan baru menyatakan perasaan marah dan ketidakpuasan hati terhadap Khalid.

Sebaliknya, ia dianggap surat layang yang diedarkan oleh pihak tertentu yang mempunyai kepentingan untuk melihat keretakan hubungan kepimpinan PKR dan Pakatan Rakyat di Selangor.

Isi kandungan surat yang ‘ditandatangani’ oleh ‘ADUN PKR, DAP dan PAS’ itu menyatakan kekecewaan kerana kononnya tiada perubahan dalam  isu yang dibangkitkan ADUN Pakatan kepada Menteri Besar.

Azmin ketika dihubungi Antarapos hari ini berkata, BBC hanya menandatangani satu memorandum yang bertarikh 7 Oktober dan dihantar kepada Menteri Besar pada 18 Oktober lalu.

"Tak ada, memo kita hanya satu. Memo rasmi BBC bertarikh 7 Oktober dan diserahkan kepada MB pada 18 Oktober. Dan susulan daripada itu satu pertemuan diadakan pada 24 Oktober.

"Saya tak tahu menahu langsung tentang ada dakwaan memo terbaru. Itu tiada kaitan dengan BBC.

"Tak ada, itu saya boleh sahkan tidak ada pertemuan selepas pertemuan pertama," kata Azmin.

Memorandum terbaharu itu turut mendakwa beberapa perkara yang dibangkitkan oleh ADUN Pakatan Rakyat tidak diambil kira, lebih-lebih mengenai belanjawan negeri yang akan dibentangkan pada sidang DUN 19 November ini.

"Saya tak mahu buat sebarang andaian, kerana sidang DUN hanya akan bermula 19 November depan. Seperti saya katakan, kita tunggu dan lihat pembentangan belanjawan kerajaan negeri pada minggu depan, dan hasil dari pembentangan itu kita masih ada ruang untuk beri pandangan atas nama BBC," jelasnya.

Azmin diminta mengulas isu pengedaran surat layang yang berlegar dalam aplikasi ‘WhatsApp’ telefon pintar sejak semalam kononnya Khalid berdepan kemarahan ADUN Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Pimpinan PKR Selangor, Amirudin Shari pula berkata, perbincangan antara wakil ADUN Pakatan bersama Menteri Besar memang ada berlangsung tetapi ia dilakukan dalam keadaan baik dan tidak beremosi.

“Sejak dahulu, BBC sentiasa berusaha membawa isu atau masalah untuk diambil perhatian dan tindakan oleh kerajaan negeri dan Menteri Besar, sepertimana yang dinyatakan dalam setengah bahagian isi kandungan surat.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti asal usul surat itu ditulis serta apa tujuannya diedar sebagai surat layang,” kata Amirudin.

Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Weng San, pula tidak menolak kemungkinan surat berkenaan ditulis bagi memecah belah perpaduan di kalangan kepimpinan negeri.

“DAP tidak pernah mengeluarkan atau merestui penulisan surat berkenaan dan jelas ia dibuat di luar pengetahuan DAP Selangor,” kata Weng San dalam balasan ‘WhatsApp’nya yang dipetik sebuah portal berita.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman pula berkata, Pakatan Rakyat sentiasa menggunakan pendekatan perbincangan dua hala dalam membawa  cadangan atau penambahbaikan dalam pelbagai isu.

“Sama ada kita duduk berbincang mengenai cadangan atau kita hantar surat secara berhemah ke pejabat Menteri Besar. Tiada langsung surat layang diedar melalui internet dan sebagainya,” katanya.

Tiada ulasan: