Ahad, 25 Ogos 2013

ROS Sedia Terima 500 Surat Pengakuan Asal Perwakilan DAP

MSTAR ONLINE
 
KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sedia menerima semua 500 surat pengakuan rasmi daripada perwakilan DAP yang mendakwa mereka telah menghadiri pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC)parti Disember tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman berkata surat berkenaan tidak boleh fotostat bagi tujuan pengesahan.

"Kami yakin 500 surat ini akan dapat membantu ROS menyiasat dakwaan yang dibuat oleh ahli DAP yang mahu pemilihan semula diadakan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata adalah sesuatu yang 'pelik' apabila pemimpin DAP secara sukarela menyerahkan surat daripada 500 perwakilan apabila difahamkan tidak ramai daripada mereka hadir pada pemilihan CEC berkenaan.

Menurutnya, ROS juga masih belum menerima walaupun satu daripada 500 surat yang diperkatakan oleh pemimpin DAP, walaupun mereka telah membuat pengumuman tersebut empat hari lalu.

Pada 30 Julai lalu, Ketua Pengarah ROS, Datuk Abdul Rahman Othman telah mengarahkan DAP mengadakan pemilihan semula CEC parti kerana beliau tidak berpuas hati dengan 'kesilapan teknikal' yang berlaku dalam pemilihan DAP pada Disember lalu.

Bagaimanapun, DAP berulangkali menegaskan pemilihan parti berkenaan diadakan secara bersih dan masalah yang timbul ketika pengiraan undi adalah disebabkan oleh 'kesilapan teknikal' semata-mata.

Pada awalnya, DAP enggan mematuhi arahan ROS namun parti itu memutuskan untuk mengadakan pemilihan semula CEC parti itu pada 29 September ini.

Tiada ulasan: