Seorang petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sungai Petani maut selepas motosikal yang ditunggangi bertembung dengan sebuah kereta di Batu 8, Jalan Alor Setar-Sungai Petani di Alor Setar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa Zaidi Mokhtar Affandi, 33, dari Kampung Imam, Jitra dikatakan sedang dalam perjalanan menuju ke Alor Setar bagi menjemput isterinya.

Mangsa dipercayai cuba memotong sebuah motosikal lain sebelum dirempuh sebuah kereta Viva yang dipandu seorang doktor wanita yang dipercayai cuba memotong sebuah lori di laluan bertentangan.

Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh di atas kereta tersebut dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk bedah siasat.
- Bernama