Khamis, 1 Ogos 2013

Permohonan maaf pengetua ‘balik China, India tidak ikhlas, kata MCA

OLEH MOHD FARHAN DARWIS



Permohonan maaf Pengetua Sekolah Menengah Alam Megah di Shah Alam berhubung kenyataan "balik China, India" yang dikeluarkannya baru-baru ini tidak ikhlas, serta menunjukkan sikap toleransi masyarakat Malaysia semakin tipis, kata Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong (gambar).

Wee menegaskan tindakan disiplin perlu diambil terhadap guru berkenaan yang turut berkata "balik Indonesia" kepada pelajar Melayu kerana tidak menghormati Lagu Negaraku ketika di sekolah berkenaan.

 "Permohonan maafnya tidak ikhlas dan sekadar berlakon," kata Wee dalam kenyataannya hari ini.

"Pelajarnya didakwa tidak menghormati lagu kebangsaan, dan pengetua itu mengarahkan mereka kembali ke negara yang dipercayai tempat asal mereka, termasuk pelajar sebangsanya," tambahnya lagi.

"Apa perasaan beliau apabila orang mengarahkannya balik ke Indonesia?" soal Wee.

Insiden berkenaan timbul sejurus kes pelajar di SK Seri Pristina didakwa terpaksa makan di bilik persalinan ekoran kantin sekolah berkenaan yang sedang diubahsuai.

Wee dalam kenyataannya berkata, insiden itu memberikan cerminan buruk kepada negara kita, namun permohonan maaf pengetua berkenaan menjadikan keadaan seolah-olah tanpa toleransi dan mencemar imej Malaysia.

"Kita semua rakyat Malaysia, bangga dan patriotik. Selain rakyat Malaysia, sesiapa yang berada di Malaysia secara sah tidak seharusnya dilayan sebegitu rupa," katanya yang juga Ketua Pemuda MCA.

Kenyataan pengetua itu juga katanya, akan mencalar imej Malaysia dan sekali gus merencatkan kemasukan pelabur ke dalam negara ini dan hubungan antarabangsa.

Tiada ulasan: