Khamis, 1 Ogos 2013

Pemain hoki kebangsaan maut dalam kemalangan


Bernama


 
Pemain hoki kebangsaan, Chua Boon Huat, 33, maut dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran stesen LRT Kelana Jaya, awal pagi tadi.

Jurucakap polis Petaling Jaya berkata kereta Proton Perdana dipandu Chua, dipercayai terlanggar sebuah lori tangki air, di LDP dalam kejadian 2.25 pagi itu.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Damansara diketuai seorang pegawai dan lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan Chua yang tersepit dalam keretanya.

Beliau berkata Chua mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama.

Berasal dari Bukit Cina, Melaka, Chua merupakan antara pemain hoki negara paling lama yang mula beraksi untuk skuad kebangsaan sejak berusia 17 tahun pada 1998.- Bernama

Tiada ulasan: