Selasa, 27 Ogos 2013

MB akan dicabar di Bahagian Rembau

 
Pemimpin yang bakal mencabar beliau ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Mohamad Rais Zainuddin.



REMBAU :Pemilihan Umno di Negeri Sembilan sudah panas apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan dicabar pada pemilihan Umno di peringkat Bahagian Rembau tidak lama lagi.

Mohamad merupakan penyandang Ketua Umno Bahagian Rembau.

Pemimpin yang bakal mencabar beliau ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Mohamad Rais Zainuddin.

Mohamad Rais, 57, berkata keputusan untuk bertanding untuk jawatan Ketua Umno Rembau bukanlah untuk merebut jawatan, sebaliknya bagi memulihkan semangat kekeluargaan yang semakin tipis dikalangan ahli Umno ketika ini.

“Saya melihat semangat kekeluargaan di kalangan ahli Umno semakin tipis. Saya dan semua ahli Umno bertanggungjawab untuk merapatkan semula jurang ini.

“Saya bertanding bukan untuk merebut jawatan tetapi memulihkan semangat kekeluargaan di dalam parti.
“Pertelingkahan berlaku dalam parti ini kadang kala lebih teruk berbanding pihak lawan dan ia akan merugikan diri sendiri.

“Perbezaan pendapat tidak bermakna kita berbeza perjuangan. Matlamat tetap sama tetpai adakalanya kerana desakan dan tekanan menyebabkan orang meluat kepada parti.

“Kalau gaduh beri kesan kepada parti masih tidak mengapa tetapi kita bimbang krisis ini akan menyebabkan mereka balas dendam pada Pilihan Raya,” kata Mohamad Rais.

Mohamad Rais pernah menjadi ADUN Chembong dari 2004 hingga 2008 dan memegang portfolio sebagai Exco Kerajaan Negeri dalam tempoh tersebut.

Beliau merupakan Ketua Umno Cawangan Air Hitam, Chembong dan Pengerusi Alumni Kelab Umno Luar Negara.

Senario terbaru ini sudah menjadi buah mulut di kalangan pemimpin dalam Umno mahu pun Pakatan Rakyat di Negeri Sembilan kerana seandainya Mohamad tewas pada Pemilihan Umno peringkat Rembau, kedudukan beliau sebagai sebagai Menteri Besar sudah pasti akan menjadi tanda tanya.

Sudah pasti kepimpinan Umno Negeri Sembilan yang bukan pro Mohamad akan memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengugurkan Mohamad sebagai Menteri Besar.

FMT difahamkan Mohamad Rais merupakan pro bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Walaubagaimanapun bukanlah perkara yang mudah untuk menumbangkan Mohamad di Umno Rembau kerana sebagai Menteri Besar yang telah berkhidmat untuk dua penggal dan kini menyambung untuk penggal ketiga, sudah pasti beliau mempunyai beberapa kelebihan.

Apatah lagi di bawah kepimpinan beliau Barisan Nasional berjaya merampas kerusi DUN Paroi dari PAS pada Pilihanraya Umum ke-13 lepas.

Malah majoriti kemenangan calon Barisan Nasional di Parlimen Rembau serta DUN Kota, Chembong, Rantau dan Paroi jauh meningkat berbanding keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 dulu.

Tiada ulasan: