Oleh Shahbudin Husin
Sebaik habis mesyuarat kabinet tengahari tadi, Khairy Jamaluddin menulis di twitternya memaklumkan kerajaan bersetuju membatalkan cadangan menyenaraikan peminjam PTPTN yang gagal membuat pembayaran daripada disenaraikan melalui CCRIS atau Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno dan Menteri Belia dan Sukan, turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas keputusan itu yang disifatkannya sebagai memahami kehendak orang muda.
Soalnya, kenapa KJ begitu tergesa-gesa membuat makluman mengenai keputusan kabinet itu sedangkan portfolio pendidikan bukan bidang tugasnya. Kementerian Pendidikan di bawah tanggungjawab Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pendidikan Pertama dan Idris Jusoh sebagai Menteri Pendidikan Kedua.
Sebelum ini cadangan mahu menggunakan CCRIS diumumkan oleh Idris Jusoh dan ia mendapat mendapat reaksi yang pelbagai. Pembangkang rata-ratanya tidak bersetuju dengan cadangan itu dan mengecam Idris Jusoh atas lontaran cadangan yang disifatkan bakal membebankan lagi graduan lepasan universiti.
Dalam Umno pula, KJ sebagai Ketua Pemuda Umno adalah satu-satunya pemimpin kanan Umno yang membantah cadangan itu atas alasan ia akan membebankan anak muda yang baru keluar universiti, selain pinjaman PTPTN juga dianggapnya berbeza dengan pinjaman bank atau institusi kewangan yang memerlukan tindakan sekeras itu perlu diambil.
Sikap KJ itu, walaupun dipuji tetapi turut mendapat kritikan beberapa pihak dalam Umno yang menyifatkan KJ sebagai anggota pentadbiran kerajaan sepatutnya menyokong cadangan itu atau membantu memberi penjelasan mengenainya dan bukannya mengemukakan bantahan secara terbuka melalui media.
Ada juga yang berpendapat, kalau pun tidak bersetuju, KJ sepatutnya menyuarakannya melalui saluran mesyuarat dan bukannya menunjukkan penentangan terhadap cadangan menteri lain secara terbuka.
Selepas kabinet yang bermesyuarat hari ini bersetuju pula membatalkan cadangan yang dikemukakan Idris Jusoh itu, KJ juga dianggap tidak sepatutnya begitu cepat memaklumkan perkara itu kepada umum melalui tulisan di twitternya.
Sepatutnya berilah peluang Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan yang mengumumkannya. Atau biarkan Idris Jusoh yang dulunya melontarkan cadangan itu memaklumkan keputusan kabinet itu.
Dalam hal ini, walaupun KJ satu-satunya menteri yang membantah cadangan penggunaan CCRIS itu tetapi tidak bermakna apabila kabinet membatalkannya, beliau juga mempunyai hak untuk mengaut kredit daripadanya.
Ramai yang menyifatkan apabila kabinet yang memutuskan pembatalan cadangan itu, ia sudah menjadi hak Kementerian Pendidikan pula mengumumkannya manakala menteri yang lain sepatutnya menghormati portfolio yang dipertanggungjawabkan kepada masing-masing serta tidak cuba melangkaui sempadan yang sepatutnya.
Dalam isu CCRIS ini nampaknya keuntungan politik semuanya menjadi milik KJ. Sama ada ini disebabkan keghairahannya yang keterlaluan sebagai menteri paling muda atau kecekapannya menggunakan media sosial, hakikatnya ini sesuatu yang tidak seharusnya dibiarkan berterusan dalam kerajaan pimpinan Najib ini.- shahbudindotcom.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan