Selasa, 27 Ogos 2013

Hari kemerdekaan amat dekat, mengibar jalur gemilang masih lesu


 
Oleh Mohammad Agus Yusoff
 
Dalam hidup ini, saya mempunyai kesempatan untuk menyaksikan perayaan hari kemerdekaan di beberapa negara yang menyambutnya pada bulan Ogos. Antaranya ialah Singapura pada 9 Ogos, Korea Selatan 15 Ogos, Liechtenstein 15 Ogos dan Indonesia 17 Ogos.

Satu yang saya pasti ialah sambutan kemerdekaan di empat negara ini meriah sekali dengan bendera berkibar di setiap pejabat dan pelusuk kampung. Mereka bangga menyambut kemerdekaan negara. Di Indonesia misalnya, mereka menanti hari kemerdekaan sepertimana kita menanti kedatangan Hari Raya. Pada malam kemerdekaan, apapun pangkat, di mana pun berada, apabila sampai jam 12 malam 17 Ogos, mereka akan bertafakur (dipanggil waktu renungan) dengan cara masing-masing mensyukuri kemerdekaan yang mereka nikmati.

Korea Selatan juga begitu. Keghairahan rakyatnya menyambut 15 Ogos luar biasa sekali kerana hari ini adalah hari mereka bebas dari perang dengan Korea Utara. Begitu jugalah dengan Singapura dan Liechtenstein. Bendera mereka berkibar megah.

Bagaimana pula dengan kita? Hari kemerdekaan kita sudah amat dekat, tetapi keghairahan rakyat kita untuk mengibar jalur gemilang masih lesu. Mengapa begitu? Apabila saya tanya kawan-kawan, mereka menyatakan payah hendak mencari jalur gemilang. Dan selainnya, kerajaan kurang promosi untuk rakyat mengibarkan bendera kemegahan kita.

Apa yang kawan rakan saya kata itu ada asasnya. PM telah merasmikan Majlis Pelancaran Jalur Gemilang pada 16 Ogos di Sungai Petani, tetapi selepas itu media lesu dalam memainkan peranan untuk meniupkan sentimen patriotik kepada rakyat. Kempen-kempen kurang diadakan. Tidak seperti dahulu yang rakyat ternanti-nanti tema Hari kemerdekaan, pada tahun ini masih ramai rakyat yang masih belum tahu ‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’ adalah tema kemerdekaan kita.

Siapakah yang perlu kita pertanggungjawabkan dalam hal ini? Jika dahulu ada juga Datuk Seri Dr Rais Yatim yang membuat promosi tentang hal ini, tetapi sekarang siapa? Mana menteri yang bertanggungjawab?

Saya sempat melihat laman www.malaysiamerdeka.gov.my, dan apa yang saya dapati ialah laman tersebut hanya sekadar menceritakan beberapa program sempena hari kemerdekaan sahaja. Kesedaran tentang kemerdekaan negara tidak diceritakan langsung. Mengapa tidak digunakan para sejarawan negara untuk menulis atau mengisahkan tentang sejarah kemerdekan negara untuk tatapan anak muda kita? Sampai satu tahap saya berfikir, adakah ini sebabnya generasi sekarang sudah tidak ambil kisah sangat tentang sejarah negara.

Di akhir analisisnya, saya dapati inilah tahun paling lembab dan lambat kita menguruskan soal mengibarkan bendera kemegahan kita. Saya kesal. Sebelum datang ke sini, saya sudah berpesan pada anak-anak saya, cari bendera dan kibarkan. Jika tidak dijual, pakai sahaja bendera lama yang tersimpan. Jika pun warnanya sudah usang, jangan biarkan semangat kita menyambut kemerdekaan negara padam. Kecintaan pada negara kita perlu selalu segar dan cemerlang.

Oh Malaysia, tanah airku.

Tiada ulasan: