Khamis, 1 Ogos 2013

Desak Menteri jawab berapa kadar tol Jambatan Kedua P Pinang

Oleh Masdar Wahid

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mendesak Kementerian Kerja Raya segera mengumumkan kadar tol Jambatan Kedua Pulau Pinang ekoran pelbagai kenyataan bercanggah.

“Pada sidang Parlimen lalu, saya bertanya kepada Kementerian Kerja Raya ‘adakah kadar tol Jambatan Kedua Pulau Pinang sudah diputuskan. Jika ya, berapakah kadarnya? Tetapi Menteri hanya jawab ‘kadar tol akan diumum kerajaan sebaik projek siap sepenuhnya’.
Sim
“Perdana Menteri pernah umum kadar tol kereta biasa RM9.40. Kemudian ada pihak berkuasa pula umum kadar tol RM8.50. Pada 10 Mac 2012, dilapor pula kadar tol RM7 tetapi tempoh konsesi dipanjangkan ke 2038, semua ini mengelirukan,” katanya khuatir kadar sebenar lebih tinggi berbanding apa yang dinyatakan.

Beliau turut bimbang kadar tol jambatan tersebut dinaikkan ekoran tiada pengumuman mengenainya hingga kini sekaligus membebankan pengguna.

“Kenyataan Kerajaan Persekutuan sebelum ini bahawa kadar tol kedua-dua jambatan akan disamakan. Persoalannya adakah kadar tol Jambatan Pertama dinaikkan jika kadar tol Jambatan Kedua ditetapkan pada kadar lebih tinggi?

“Rakyat perlu tahu kadar tol Jambatan Kedua untuk membuat pelan perbelanjaan keluarga. Peniaga dan industri yang menjadi nadi ekonomi Bayan Baru pula perlu tahu kadar tol lebih awal bagi memudahkan pelan belanjawan logistik syarikat,” katanya menegaskan kedua-dua jambatan terletak di kawasannya.

Setakat 30 Jun lalu, Jambatan Kedua 96 peratus siap dan berdasarkan perjanjian, projek dengan kos RM4.5 bilion itu dijangka siap penuh November depan dan dibuka kepada lalu lintas selewat-lewatnya akhir tahun ini. Namun kerja-kerja dihentikan ekoran sebahagian susur keluar jambatan kedua runtuh 6 Jun lalu.

“Pada sidang Parlimen lalu, saya juga bertanya tempoh pulangan modal projek dan menteri jawab ‘Ia tertakluk kepada jumlah kenderaan dan kadar tol dikenakan sepanjang tempoh konsesi,” katanya mendesak Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof memberi maklumat terkini perkembangan projek.

Tiada ulasan: