Oleh : Mahdzir Ibrahim
Kesan
daripada krisis sosial pada tahun 1969, daulah pada ketika itu telah
mengambil inisiatif menganjurkan satu kongres yang kita kenali pada hari
ini sebagai Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Hasil daripada kongres
tersebut maka lahirlah cetak biru (blue print) yang dikenali sebagai
Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.
Niat dan objektif dasar ini sangat molek iaitu untuk mengukuhkan integrasi kaum dan budaya dan diharap dapat memberi impak terhadap keharmonian nasional disamping kestabilan ekonomi untuk semua kaum di Malaysia.
Seperti
juga Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang juga sezaman dengan dasar kebudayaan
kebangsaan, juga mempunyai matlamat yang hampir serupa iaitu untuk
memastikan kesimbangan ekonomi antara luar bandar
(Melayu/Bumiputera/India) dan bandar (Cina).
Namun
kini terbukti DEB telah gagal mencapai matlamatnya. Ekuiti kaum
bumiputera gagal dicapai seperti yang disasarkan. Sebaliknya ia menjadi
medium berleluasanya kegiatan rasuah dan salahguna kuasa (korupsi)
dikalangan elit daulah.
Dan kini, selepas PRU
13 kelihatan jurang perkauman semakin melebar. Adakah ini manifestasi
kegagalan agenda integrasi nasional dalam dasar kebudayaan kebangsaan?
Jika
kita masih ingat, isu Namewee (Negara ku ku), isu bendera kebangsaan
(jalur gemilang), isu lagu Negara Ku yang dikatakan diciplak dari versi
Terang Bulan dan Memula Moon, seolah-olah memberi petanda bahawa ada
sesuatu yang tidak kena dengan projek daulah ini.
Termasuk
juga isu perarakan kepala lembu selepas PRU 12 di Shah Alam, isu kepala
babi dimasjid, isu-isu mainan NGO Perkasa atau Jati dan kini selepas
PRU 13, kita diheret dengan ‘Tsunami Cina’ dan pelbagai momokan seperti ‘
Apa lagi Cina Mahu’.
Terbaru, kes-kes seperti
Bak Kut Teh Aidilfitri, kes ucapan hari raya pelatih anjing yang
kesemua ini menarik kembali tumpuan kita terhadap identiti bangsa ini.
Kes-kes
diatas, bukanlah muncul secara tiba-tiba, setiap isu itu merupakan
paparan terhadap kefahaman rakyat tentang identiti mereka, kontradiksi,
kecelaruan serta keresahan jiwa anak-anak bangsa Malaysia. Mereka
merasakan ada sesuatu yang tidak kena, ada sesuatu yang terpisah dan
gagal dirumus dengan betul, maka luahan tersebut adalah manifestasi dan
protes terhadap kegagalan ini.
Terbaru,
cadangan daulah untuk mengenakan syarat terhadap semua pawagam untuk
memutar lagu Negara Ku sebelum sesuatu filem ditayangkan dan
mengharapkan agar penonton (rakyat) bangun berdiri menghormati lagu
kebangsaan.
Apakah cadangan kerajaan ini suatu
jenaka politik kita tidak pasti. Apa yang jelas sekali adalah,
pemaksaan sesuatu budaya atau symbol ke atas masyarakat bukanlah satu
‘budaya’ yang betul.
Hormat dan rasa cinta
kasih tidak boleh dibuat secara paksaan atau artificial. Cadangan ini
pastinya berpunca dari rasa tidak yakin daulah terhadap rakyatnya untuk
menghormati symbol atau lembaga kenegaraan. Atau daulah sengaja
menggunakan kuasa untuk menunjukan bahawa dengan akta atau
undang-undang, maka citra bangsa akan dapat dicipta dan dizahirkan.
Inilah model kerajaan gila kuasa.
Begitu juga
dengan cadangan Perdana Menteri selepas PRU 13 iaitu (National
Reconciliation – Perdamaian Nasional), mengukuhkan lagi manifestasi
terhadap kegagalan dasar integrasi kerajaan Barisan Nasional. Mereka
gagal menyediakan ruang budaya dan kehidupan yang dinamik serta kondusif
hingga terpaksa melakukan ‘perdamaian nasional’. Hairan, entah bila
Melayu, Cina atau India bermusuh?
Identiti
bangsa Malaysia masih terus mengalami krisis akibat dari amalan politik
perkauman yang tak berkesudahan. Dalam dasar Kebudayaan Kebangsaan itu
sendiri, budaya kaum Cina, India dan bumiputera Sabah/Sarawak, bukan
menjadi teras sebaliknya budaya Melayu, maka tidak hairanlah apabila
kaum-kaum bukan Melayu sendiri tidak begitu memahaminya, apatah lagi
ingin menghayatinya. Inilah kesannya apabila sesuatu dasar dibuat
berdasarkan dominasi sesuatu kaum atau agama.
Dalam
dasar kebudayaan itu juga meletakkan Islam sebagai unsur penting dalam
pembentukan jatidiri budaya Malaysia. Sayang sekali, Islam sebagai
sebuah agama yang luas dan dinamik telah digunakan untuk menyempitkan
lagi kefahaman kita dalam menghormati kepelbagaian budaya dari pelbagai
kaum dan agama.
Kontradiksi ini tidak lain tidak bukan telah dicipta oleh daulah.
Maka berjangkitlah penyakit bangsa ini terhadap agama dan simbol-simbol adat dan budaya bangsa lain.
Ibrahim
Ali itu seorang yang berpendidikan, tetapi mengapa bertindak begitu
perkauman sekali kepada bangsa dan budaya lain? Alvin dan pasangannya
juga berpendidikan, tetapi mengapa bertindak seperti orang tidak
bersekolah? Hassan Ali juga berpendidikan tinggi, tetapi mengapa begitu
takut dengan agama lain, seolah-olah agama Kristian itu harus diperangi?
Kesemua
ini bukan masalah orang pandai atau bodoh, sekolah tinggi atau rendah
tetapi kerana kepedulian dan rasa keterbukaan. Nilai-nilai kepedulian
atau keterbuakaan ini adalah budaya, mereka-mereka ini bukan tidak
berpendidikan tetapi tidak berbudaya.
Malah,
akhir-akhir ini kita dapat lihat bagaimana celarunya segelintir golongan
dari kita terhadap penganut syiah hingga memaksan undang-undang
digunakan, kononnya untuk memastikan Islam Malaysia kekal seperti yang
mereka (daulah) mahu. Kini bukan saja momok Kristian, Hindu atau Budha
tetapi syiah juga seakan menjadi ancaman, kelihatan kita semakin hidup
terpencil dan terasing. Mereka yang hidup terasing ini amat sukar untuk
maju.
Apakah kita sedar bahawa falsafah
tertinggi dalam negara kita telah dipahat dengan jelas tanpa ada
dominisi satu-satu kaum atau agama. Malah, citra bangsa ini sangat
‘liberal’ yang hari ini perkataan liberal sangat-sangat dibenci dan
ditakuti. Tetapi falsafah ini jarang sekali dibaca atau diselak maknanya
sebaliknya ucapan ikrar kita hanya bermula dengan
Maka kami..rakyat Malaysia.....
Sedangkan
tinta utama dalam rukunegara ini seakan kita abaikan. Akhirnya, kita
bertanya kembali adakah dasar kebudayaan kebangsaan itu telah gagal?
BAHAWASANYA NEGARA KITA MALAYSIA mendukung cita-cita hendak:
Mencapai
perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya; Memelihara
satu cara hidup demokratik; Mencipta satu masyarakat adil di mana
kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang
kaya dan berbagai corak; dan membina satu masyarakat progresif yang akan
menggunakan sains dan teknologi moden. Berkhidmat untuk negara.
MAKA
KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan
usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas
prinsip-prinsip yang berikut :
KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN
MAHDZIR IBRAHIM, AHLI JAWATANKUASA EKSEKUTIF PEMUDA SOSIALIS DAP KEBANGSAAN (DAPSY)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan